Saturday, July 16, 2011

Jangan Marah

MARAH adalah satu sifat yang ada pada sesiapa sahaja di muka bumi ini. Jarang saya lihat orang mampu menahan marah bila sampai batasnya hatta orang 'alim sekalipun. Walaubagaimanapun, usaha ke arah tidak marah itu perlu ada bagi mengawal diri ketika sedang marah. Rasulullah S.A.W juga mengunjurkan kita supaya mengawal marah kerana marah itu api dan api itu syaitan.

Marah itu sebenarnya ialah nyalaan api yang bersumberkan dari Allah yang menyala-nyala di dalam hati kita. Marah itu timbul disebabkan oleh sifat BONGKAK yang terpendam dalam kalbu setiap orang yang derhaka.

"Eh,mana ada bongkak. Aku marah memang sebab orang tu perangai melampau-lampau!!Degil!!!"


Ok2,memang orang tu kurang ajar tetapi sadarkah kita itu telah menunjukkan kebongkakkan kita memarahi kelemahan orang lain. Saya beri contoh mudah. Dalam satu komuniti ada orang yang rajin ke surau dan ada yang tidak. Dekat surau pula tak ramai yang imarahkan. Mereka yang datang surau ni mula dicucuk syaitan supaya marah orang yang tak datang surau.

"Korang apasal malas sangat pegi surau ni hah? Aku tengok asyik muka yang sama je gi surau.Berat sangat ke kaki nak pegi surau tu.Dekat je aku surau tu pun. Jemaah satu saf pun tak penuh...Lepas tu bila skuad 5 minit datang nak tazkirah korang tutup pintu pulak. Panas je aku tengok!!Hish, rasa macam nak sepak je sorang2....$@!!#@%%$&..."


Kalau kita tengok nampak macam bagus sebab dia menegur apa yang salah. Tetapi dalam masa yang sama perasankah kita bila orang ni marah sebegitu seumpama dia bongkak dengan apa yang dia buat. Mentang2 dia datang surau selalu, suka2 nak marah2 orang. Lepas tu cakap kasar.bukankah bongkak tu namanya...

Menurut penyelidikan ahli-ahli yang mengetahui cahaya kebenaran keyakinan mengatakan bahawa manusia itu adakalanya tertarik urat sarafnya oleh tipu daya syaitan yang terlaknat. Oleh itu, barangsiapa dipengaruhi api kemarahan, bererti eratlah hubungannya dengan syaitan sebagaimana disebutkan di dalam Al-Quran

7:11

Ertinya:


"Allah berfirman: “Apakah penghalangnya yang menyekatmu daripada sujud ketika Aku perintahmu?” Iblis menjawab: “Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan daku dari api sedang dia Engkau jadikan dari tanah.”
(Al-A'raf : 12)


Kalau kita perasan, bukankah sifat dan watak tanah itu berdiam diri dan tenang, sedangkan sifat dan watak api itu ialah menyala-nyala, bergerak dan bergelora. Jadi bila kita marah, timbullah perasaan dendam dan dengki.

"Geramnya aku dengan kau.Orang dah buat baik2 dia buat camni kat aku.Tengokla nanti.Aku hebahkan kat orang rahsia kau yang aku tau.Masa tu baru kau rasa camne..."

Kadangkala kita tak perasan yang hati kita berkata begini waktu marah. Ini semua kerja syaitan yang dilaknat Allah. Jika kita menurut sifat ini, maka binasalah kita jika kebinasaan itu yang kita pilih dan buruklah akhlak kita jika itu yang kita inginkan. Dendam dan dengki itu ternyata merupakan suatu 'pendorong' dan 'pembimbing' manusia ke arah kecelakaan, maka pentinglah kita untuk MENGETAHUI BAHAYA-BAHAYA DAN KEBURUKANNYA. Oleh yang demikian, jika kita mengetahui dan menyedari akan bahaya sifat ini, kita akan lebih berhati-hati dan menghindarkan diri dari kelakuan-kelakuan seperti itu.

Peringkat Manusia dalam Marah

Sadarlah kita bahawa titik kekuatan dan tenaga kemarahan itu letaknya di lubuk hati. Kalau kita perasan aliran marah ni bolehlah saya kaitkan dengan teori fizik dalam pengaliran haba pada material sekeliling. Bila orang marah pertama sekali hatinya akan mendidih dahulu.kemudian bahangnya itu akan mengalir melalui urat saraf di seluruh tubuh manusia dan akan terserlah pada permukaan muka. Analoginya seperti air yang dipanaskan dalam heater. Mula-mula heater tu diam bila kita tekan suis, dan bila sampai waktunya panasnya akan terlihat pada air yang menggelegak panas.(Harap-harap paham la analogi ni)

Menurut Imam Al-Ghazali rahimahullah dalam kitabnya Ihya' Ulumuddin, manusia mempunyai peringkat-peringkat dalam menghadapi kekuatan marah.Mereka terbahagi pada 3 golongan iaitu

    1. Tafrith (acuh tak acuh atau hilang kemarahannya)
    2. Ifrath (berlebih-lebih kemarahannya)
    3. Iktidal (mampu mengendalikan kemarahannya)
    
Antara ketiga-tiga golongan ini,golongan yang ketiga adalah yang terbaik iaitu pertengahan antara pertama dan kedua. Dalam hal ini, marah itu mesti dikendalikan mengikut saranan agama. Buruknya golongan Tafrith ini kerana mereka tidak ada kekuatan marah dalam diri dan dikategorikan paling lemah sekali. Golongan ini boleh kita anggap lemah dan tidak mempunyai sikap pembelaan diri. Mereka tidak mampu membela dirinya,isterinya,keluarganya dan apapun haknya lebih-lebih lagi melibatkan kepentingan agama.Ini adalah sifat paling tercela kerana akibat daripada sifat ini adalah tiada sifat cemburu dalam diri. Satu hari nanti kita akan mempunyai keluarga sendiri bagi yang belum berkahwin dan cemburu itu perlu dalam mejaga kehormatan keluarga terutamanya antara suami dan isteri.

Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya Sa'ad adalah orang yang kuat cemburunya dan saya (Nabi Muhammad S.A.W) adalah lebih cemburu daripada Sa'ad dan Allah adalah lebih cemburu lagi daripada saya (yakni jika melihat hambaNya hendak berbuat maksiat)."
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

Cemburu itu sangat perlu dipelihara demi untuk melindungi keturunan kita. Andaikata tiada sifat cemburu, semua manusia akan bersifat lalai dan sesuka hati membiarkan perkara-perkara buruk berlaku seperti keturunan yang bercampur-baur,maksiat yang tidak langsung ditegah,kezaliman berleluasa dan banyak lagi. Ada orang mengatakan,

"Setiap bangsa yang masih ada perasaan cemburu di kalangan kaum lelakinya, maka pasti terpeliharalah kaum wanitanya dengan baik" 

Golongan kedua pula iaitu Ifrath berlawanan dengan sifat tafrith bermaksud terlampau suka marah,berlebih-lebih tanpa mengenal batas-batas dan ketentuan. Golongan ini selalu nak memenangkan dirinya sahaja sehingga boleh keluar daripada kewarasan akal,tuntutan agama serta menjauhi ketaatannya. Seseorang yang mempunyai sifat ini mengakibatkan dia tidak berfikiran jernih dan suci, pandangannya sempit dan terbatas malahan tidak dapat membezakan antara yang baik dan buruk. Wajahnya memang buruk ketika marah sehingga kalau dia melihat mukanya sendiri ketika marah, pasti akan reda kerana malu pada diri sendiri. tetapi,keburukan dalam hati jauh lebih buruk daripada apa yang dizahirkan.

Ringkasnya ialah bahawa sifat Tafrith itu tercela sekali sedangkan Ifrath itu merbahaya pula. Jadi, apa yang baik ialah ada sifat marah tetapi mesti disalurkan dengan mengikut apa yang ditentukan akal yang waras dan memenuhi syarat-syarat agama (Iktikad). Cara pertengahan inilah yang diunjurkan agama mengikut sabda Nabi Muhammad S.A.W bemaksud:

"Sebaik-baik perkara itu adalah yang pertengahan."
(Diriwayatkan oleh Baihaqi)



***Anda berada dalam golongan mana?***