Friday, June 10, 2011

Punca Penyakit Manusia

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Sebagaimana akhlak terpuji mempunyai induk dan akarnya tersendiri, begitu pula akhlak tercela memiliki akarnya yang berada di dalam  jiwa dan fikiran kita.

Ada dua akar penyakit akhlak :

PERTAMA : SYUBHAT

Penyakit ini menimpa wilayah akal manusia, di mana kebenaran tidak menjadi jelas (samar) dan bercampur dengan kebatilan. Penyakit ini menghilangkan kemampuan dasar manusia memahami secara baik dan memilih secara tepat.

Penyakit syubhat sesungguhnya berkaitan dengan pemahaman dasar manusia dan struktur pemikirannya. Akarnya adalah ilmu yg belum sempurna dan mendalam bertemu dengan kecenderungan jiwa untuk menyimpang. 

Allah swt berfirman :


"...Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong pada kesesatan, maka mereka mengikuti ayat-ayat mutasyabihaat....." (QS Ali Imran : 7)
Oleh kerana itu, akar penyakit ini dapat ditelusuri pada :

1. Kemampuan manusia dalam memahami.
2. Adanya kelemahan logik atau penyalahgunaan logik.
3. Ketidakmampuan memahami hakikat sesuatu secara benar.
4. Kesalahan metodologi dalam berfikir.

Kesemua perkara di atas akan menyebabkan lahirnya kesimpulan yang juga salah dan akhir sekali penyimpangan pemahaman keagamaan yang menyebabkan lahirnya bid'ah dan aliran sesat.

Orang-orang yang menderita penyakit ini biasanya :

a. Memiliki keberanian luar biasa untuk membahas apa sahaja yang datang dari Allah swt.
b. Mempunyai kegemaran luar biasa untuk berdebat.
c. Sifat rakus dalam mempertahankan pendapat sendiri sekalipun sesungguhnya ia tidak pernah memiliki keyakinan yang kuat dan selalu ragu dalam segala perkara.

Lawan dari penyakit ini adalah ilmu yang benar dan mendalam yang kemudian menimbulkan keyakinan yang kuat yang tidak disertai keraguan.

Pada akhirnya, penyakit syubhat ini melahirkan kekufuran, bid'ah dan nifaq.

KEDUA : SYAHWAT
Penyakit ini menimpa wilayah hati dan naluri manusia, di mana dorongan kekuatan dalam hatinya mengalahkan dorongan kekuatan kebaikan. Penyakit ini menghilangkan kemampuan dasar manusia untuk mengendalikan diri dan bertekad secara kuat.

Adapun penyakit ini pada umumnya lahir dari lemahnya kehendak baik dalam hati seseorang, baik untuk melakukan kebaikan (positif) mahupun untuk melawan dorongan kejahatan dalam dirinya.

Sebagai contoh firman Allah swt :

"Dan sesungguhnya telah kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu) dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat." (QS Thaha : 115)
Dorongan-dorongan kejahatan itu sendiri pada dasarnya berasal dari naluri manusia yang sebahagiannya adalah keperluan dasar yang memberikan kepentingan dan dinamik kehidupan kepada manusia.

Naluri seksual, misalnya, pada kadar tertentu diperlukan untuk mempertahankan kelangsungan hidup umat manusia, namun, ia menjadi kejahatan saat tuntutan pemuasannya berlebihan dan cara pemenuhannya keluar dari jalur syariah.

Demikian pula naluri berkuasa, misalnya ia diperlukan untuk mencipta kemampuan memimpin dan bermasyarakat dalam kehidupan manusia. Namun, jika kadarnya melampaui batas yang tabi'e dan cara pemenuhannya keluar dari jalur syariah, maka ia menjadi ancaman bagi kebaikan.

Ada beberapa jenis syahwat yang kemudiannya menjadi akar kepada semua bentuk dosa manusia :

1. SYAHWAT KEKUASAAN

Ia bererti dorongan berkuasa dalam diri seseorang begitu kuat sampai ke tingkat di mana ia mulai menyerap sebahagian dari sifat yg hanya layak dimiliki oleh Allah swt. Hal ini bermula dari yang terkecil seperti :

a. Suka dikagumi (sum'ah).
b. Senang disanjungi di depannya (riya').
c. Merasa puas diri (ghurur).

sehingga sampai kepada yang lebih besar seperti :

a. Sombong.
b. Angkuh.
c. Mengancam.
d. Zalim.

Syahwat inilah yang kemudiannya mendorong manusia sampai pada tingkat yang lebih jauh lagi iaitu syirik. Inilah dosa yang membuat Fir'aun terlaknat.
Syahwat ini biasanya menimpa orang yang memiliki banyak perkara seperti :

a. Harta yang melimpah ruah.
b. Kekuasaan yang luas.
c. Dukungan ketenteraan yang kuat.
d. Rakyat yang miskin, bodoh dan lemah dan tidak berdaya.
e. Teknologi yang tinggi dan canggih.

2.SYAHWAT KESYAITANAN

Ia bererti bahwa ada dorongan yg kuat dalam diri seseorang untuk menyerupai syaitan dalam berbagai bentuk perilaku dasarnya seperti :

a. Memiliki sifat benci, dengki, dendam.
b. Gemar menipu.
c. Membuat rancangan yang jahat.
d. Menyebarkan gosip.
e. Memfitnah.
f. Menyesatkan orang lain.

Syahwat ini biasanya mempertemukan antara kecerdasan di satu sisi dengan dorongan syaitan di sisi yang lain. Oleh kerana itu, pelakunya cenderung licik dan culas dalam pergaulan serta bermuka dua.

Syahwat ini biasanya menimpa orang-orang yang cerdas namun tidak memiliki hati yang bersih dan niat yang baik.

3.SHAHWAT BINATANG BUAS

Syahwat ini berasal dari nafsu amarah dan angkara murka seperti api yang cenderung membakar dan memusnahkan. Jika syahwat angkara murka bertemu dengan kekuatan fizikal yang mendokongnya, maka lahirlah berbagai macam perilaku buruk seperti :

a. Permusuhan.
b. Perdebatan.
c. Penjajahan.
d. Pembunuhan.
e. Kezaliman.
f. Perkelahian.

Syahwat ini biasanya menimpa orang-orang yang kuat secara fizikalnya namun tidak memiliki rasa kasih, kemurahan hati dan naluri sosial yg baik.

4.SHAHWAT BINATANG TERNAK
Syahwat ini berasal dari naluri binatang dalam diri manusia dan mendorongnya untuk memenuhi keperluan perut dan kemaluannya secara berlebihan. Penyakit ini mendorong manusia menjadi :

a. Hedonis.

b. Permisif
c. Berfikiran pendek.

Dari syahwat perut lahirlah sifat-sifat :

a. Serakah.
b. Rakus.
c. Makan harta anak yatim.
d. Mencuri.
e. Rasuah.
f. Sifat pengecut dan penakut.

Adapun dari syahwat kemaluan lahirlah perzinaan.

Sebahagian besar manusia terjebak dalam penyakit ini disebabkan pemenuhannya yang tidak memerlukan banyak kecerdasan ataupun kekuatan fizikal atau wilayah kekuasaan.

Demikianlah kita melihat bahwa kedua penyakit ini iaitu penyakit syubhat dan syahwat berpunca dari sumber yg sama iaitu kelemahan akal dan jiwa di mana kita boleh rumuskan seperti berikut :

1.Kelemahan akal disebabkan oleh kedangkalan ilmu dan kelemahan jiwa>>>Penyakit Syubhat
2.Kelemahan jiwa disebabkan oleh kelemahan kemahuan dan tekad>>>Penyakit Syahwat
Islam telah membahagikan akhlak menjadi dua jenis :

PERTAMA : AKHLAK FITRIYAH

Iaitu sifat bawaan yg melekat dalam fitrah seseorang yang dengannya ia diciptakan, baik sifat fizikal mahupun sifat jiwa.

Firman Allah swt :


"…(tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah…." (QS Ar Rum : 30)
Berbagai-bagai sifat bawaan yang bercampur boleh membentuk karakter fitriyah yang lain misalnya seseorang membawa kecerdasan dari ibunya dan membawa sifat serakah dari bapanya maka hasilnya muncul sifat ketiga iaitu sifat licik.

Begitu pula jika ia membawa sifat cinta kepada kebenaran lalu bertemu dgn keberanian maka ia menjadi adil seperti yg boleh dirumuskan seperti berikut:

Serakah + Cerdas = Licik
Cinta Kebenaran + Berani = Adil
KEDUA : AKHLAK PEROLEHAN
Sifat semulajadi yang tidak ada dalam sifat bawaan seseorang namun diperolehi melalui lingkungan alam dan sosial, pendidikan, latihan dan pengalaman. Islam menganggap wilayah akhlak ini sebenarnya lebih luas dari akhlak fitriyah.

Rasulullah saw bersabda mengenai perkara ini :


"Ilmu diperolehi dengan belajar dan sifat santun diperolehi dgn latihan menjadi santun." (HR Bukhari)
Terdapat beberapa faktor luaran yang mempengaruhi pembentukan karakter di atas seperti berikut :

PERTAMA : Lingkungan alam, misalnya iklim tropika mempengaruhi tabiat masyarakatnya untuk bersikap hangat dan terbuka.

KEDUA : Lingkungan sosial iaitu lingkungan keluarga dan masyarakat.

KETIGA : Pendidikan, latihan dan pengalaman iaitu usaha-usaha secara sedar samada langsung mahupun tidak langsung untuk mengembangkan karakter tersebut.

Oleh sebab itu akhlak dalam Islam sentiasa terbuka bagi semua bentuk perbaikan, pengembangan dan penyempurnaan kerana sumber-sumber karakter perolehan itu wujud dan bersifat tetap.

Orang yang membawa sifat kasar boleh memperolehi sifat lembut setelah melalui mekanisma latihan yang sistematik. Contoh nyata adalah Saidina Umar Al Khattab yang sifat asalnya adalah kasar kemudian beliau belajar menjadi lembut setelah masuk Islam.

Begitu juga Saidina Abu Bakar yang memang seorang yang lembut sebelum Islam sehingga dianggap lemah oleh sesetengah kalangan tetapi menjadi tegas, keras dan kuat setelah masuk Islam.

Demikianlah Islam memberi peluang kepada setiap orang untuk belajar membentuk karakternya sendiri sehingga lahirlah dari agama ini manusia-manusia ajaib yang menghiasi sejarah peradaban manusia.

Semoga Allah swt melindungi kita dari terjebak ke dalam dua penyakit berbahaya iaitu penyakit syubhat dan syahwat serta memberi kekuatan kepada kita untuk membaiki, meningkatkan dan mengembangkan karakter-karakter yang ada di dalam diri kita sehingga ia benar-benar menghasilkan satu peribadi yang unggul dan memancarkan kesempurnaan akhlak yang diimpikan oleh setiap manusia-manusia yang beriman untuk mendapat darjat yang tinggi di akhirat nanti.

Ya Allah tambahkanlah ilmu yg bermanfaat dan kemahuan yang kuat kepada kami supaya dengannya kami dapat menghalang dari kelemahan akal dan jiwa yang akhirnya boleh menyebabkan kami dijangkiti penyakit syubhat dan syahwat.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali
Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam

"UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN"
"IKRAM WADAH PERJUANGAN"

Monday, June 6, 2011

Kebaikan Surah-Surah di Dalam Al-Quran

Amalan Ayat Dan Surah-surah Al-Quran Beserta Kebaikkannya





(1) BISMILLAH (Dengan Nama Allah)
Barangsiapa membaca sebanyak 21 kali ketika hendak tidur, nescaya terpelihara dari godaan dan gangguan syaitan, dari bencana manusia dan jin, daripada kecurian dan kebakaran, dan daripada kematian terkejut. Barang siapa membaca sebanyak 50 kali di hadapan orang yang zalim, hinalah dan masuk ketakutan dalam hati si zalim serta naiklah keberanian dan kehebatan kepada pembaca. 


(2) SURAH AL-FATIHAH (Pembukaan)
Barangsiapa membacanya sebanyak 41 kali diantara sembahyang sunatnya, nescaya permintaannya di perkenankan, jika sakit lekas sembuh dan nescaya dikasihi oleh makhluk dan ditakuti oleh musuh. Barang siapa membaca 20 kali sesudah tiap-tiap sembahyang fardhu, nescaya rezkinya dilapangkan oleh Tuhan dan bertambah baik keadaannya, serta bercahaya rohaninya. 


(3) AYAT AL-KURSI (Kekuasaan Allah)
Barangsiapa membacanya sekali selepas setiap sembahyang fardhu, nescaya terpelihara dari tipudaya dan ganguan syaitan. 
Dengan membacanya, seorang yang miskin akan menjadi kaya, dan jika dibaca ketika hendak tidur nescaya akan terselamat dari kecurian, kebakaran dan kekaraman. Barangsiapa sentiasa membaca ayat Al-Kursi, nescaya Allah akan kurniakan kepada ahli rumahnya kebaikkan yang tidak terhitung banyaknya. Barangsiapa berwudhuk lalu membaca sekali, nescaya Allah akan meninggikan darjatnya setinggi 40 darjat dan Allah akan mendatangkan para malaikat menurut bilangan hurufnya, seraya berdoa untuk sipembaca sehinggalah ke hari Qiamat. 
Dan tersebut dalam hadith yang lain : Barangsiapa membacanya ketika hendak tidur, nescaya Allah akan membuka pintu rahmat baginya hingga kesubuh, dan mengurniakan kota nur menurut bilangan rambut dibadannya. Jika sipembacanya meninggal dunia pada malam itu, ia dikira mati syahid. 
Hadith yang lain mengatakan: Barangsiapa membacanya selepas setiap sembahyang fardhu, nescaya akan terpelihara dari kekerasan malakul-maut,, dan dia akan dibangkitkan bersama para Mujahid yang berjihad beserta para Anbiya hingga ia gugur mati Syahid. 
Imam Jaafar Shadiq r.a. mengatakan: Barangsiapa membaca sekali, nescaya Allah akan menghindar darinya 1,000 kesukaran duniawi, yang terkecil sekali ialah kemiskinan dan kepapaan, dan 1,000 kesukaran ukhrawi, yang terkecil sekali ialah azab neraka.


(4) SURAH AL-BAQARAH (Sapi Betina)
Barangsiapa membaca dua ayat terakhir dari surah ini (Amanarrasulu) sebelum tidur, ia akan terselamat dari segala bala bencana dan mara bahaya.


(5) SURAH ALI-IMRAN (Keluarga Imran)
Barangsiapa membaca tiga ayat yang pertama dari surah ini, Nescaya ia akan mencapai kesihatan dari segala penyakit dan terselamat dari gangguan jin.


(6) SURAH AN-NISSA' (Perempuan)
Barangsiapa yang membaca ayat yang ke 75 dari surah ini, nescaya ia akan terselamat dari kejahatan para penjahat.


(7) SURAH AL-MAIDAH (Hidangan)
Barang siapa membaca ayat yang ke 7 dari surah ini, sebanyak yang mungkin selama 3 hari berturut -turut, insya Allah akan terselamat dari was-was semasa wudhu dan sembahyang. Barang siapa membaca ayat 89 hingga ayat 101dari surah ini, keatas air lalu diberi minum kepada orang yang bercakap dusta, nescaya ia tidak akan bercakap dusta lagi.


(8) SURAH AL-AN'AM (Binatang Ternak)
Barang siapa membacanya sebanyak 7 kali, nescaya akan terhindar dari segala bala bencana. Jika ayat 63 dan 64 dari surah ini,dibaca oleh penumpang kapal, ia akan terselamat dari karam dan tenggelam.


(9) SURAH AL-A'RAAF (Benteng Tinggi)
Barang kali membaca ayat 23 dari surah ini, selepas tiap-tiap sembahyang fardhu, lalu beristighfar kepada Allah, nescaya akan terampun segala dosanya. Barang siapa membaca ayat 47 dari surah ini, ia akan terpelihara dari kekacauan para penzalim serta ia akan mendapat rahmat Allah.


(10) SURAH AL- ANFAL (Rampasan)
Barang siapa membaca ayat 62 dan 63 dari surah ini, nescaya dia akan di cintai dan dihormati oleh sekalian manusia.


(11) SURAH AL-BARAAH (AT-TAUBAH) (Pemutus perhubungan)
Barangsiapa membacanya, nescaya akan terselamat dari kemunafiqan dan akan mencapai hakikat iman. Barang siapa membaca ayat 111 dari surah ini, dikedai atau ditempat-tempat perniagaan, nescaya akan maju perniagaannya itu.


(12) SURAH YUNUS (Yunus)
Barangsiapa membaca ayat 31dari surah ini, ke atas Perempuan yang hamil, nescaya ia melahirkan anak dalam kandungannya itu dengan selamat. Barangsiapa membaca ayat 64 dari surah ini, nescaya ia akan terhindar dari mimpi-mimpi yang buruk dan mengigau.


(13) SURAH AL-HUD (Hud)
Barang siapa membaca, nescaya ia akan mendapat kekuatan dan Kehebatan serta ketenangan dan ketenteraman jiwa. Barang siapa membaca ayat 56 dari surah ini, pada setiap masa, nescaya ia akan terselamat dari gangguan manusia yang jahat dan binatang yang liar. Barang siapa membaca ayat112 dari surah ini, sebanyak 11 Kali selepas tiap-tiap sembahyang, nescaya akan mencapai ketetapan hati.


(14) SURAH YUSUF (Yusuf)
Barang siapa membacanya, akan di murahkan rezekinya dan diberikan kemuliaan kepadanya. Barang siapa membaca ayat 64 dari surah ini, ia akan terhindar dari kepahitan dan kesukaran hidup.Barang siapa membac ayat 68 dari surah ini, nescaya Allah akan mengurniakan kesalehan kepada anak-anaknya.


(15) SURAH AR-RA'D (Petir)
Barang siapa membaca ayat 13 dari surah ini, ia akan terselamat dari petir. Dan barangsiapa membaca ayat 28 dari surah ini, nescaya Penyakit jantungnya akan sembuh.


(16) SURAH IBRAHIM (Ibrahim)
Barang siapa membaca ayat-ayat 32 hingga 34 dari surah ini, nescaya anak-anaknya akan terhindar dari perbuatan-perbuatan syirik dan bida'ah.


(17) SURAH AL-IIIJ'R (Batu Gunung)
Barang siapa membaca 3 ayat yang terakhir dari surah ini, ke atas perempuan yang selalu anak kandungannya gugur, nescaya anak kandungannya itu akan terselamat, dari gugurnya.


(18) SURAH BANI ISRAIL (Anak-anak Israil)
Barang siapa membacanya ke atas air, lalu diberi minum kepada orang yang bercakap gagap insya Allah akan hilang gagapnya itu. Barang siapa membaca ayat 80 dari surah ini, ketika ia pulang dari perjalanan, nescaya dia akan dimuliakan dan dihormati oleh orang- orang yang setempat dengannya.


(19) SURAH AL-KAHF (Gua)
Barang siapa membacanya, akan terhindar dari kemiskinan dan kepapaan. Barang siapa membacanya pada malam Jumaat, nescaya dia akan mendapat rezeki yang murah.


(20) SURAH MARYAM (Maryam)
Barang siapa membacanya, nescaya akan mendapat kejayaan di dunia dan di akhirat.


(21) SURAH THAAHAA (Hai Manusia)
Barang siapa membacanya, nescaya Allah akan mengurniakan kepadanya ilmu pengetahuan dan akan tercapai segala maksudnya. Barang siapa membaca ayat-ayat 25 hingga 28 sebanyak 21 kali, tiap-tiap hari selepas sembahyang subuh nescaya otaknya akan cerdas dan akalnya akan sempurna.


(22) SURAH AL ANBIYA (Nabi-Nabi)
Barang siapa membaca ayat 83 dari surah ini, nescaya dia akan mendapat sebesar-besar pangkat di sisi Allah s.w.t .


(23) SURAH AL-HAJ (Haji)
Barang siapa membacanya, Allah akan membinasakan musuh-musuhnya.


(24) SURAH AL-MU'MINUN (Orang-orang Mukmin)
Barang siapa membacanya ke atas air, lalu diberi minum kepada orang yang selalu minum minuman keras,nescaya dia tidak akan meminumnya lagi. Barang siapa membaca ayat 28 dari surah ini, nescaya perahunya akan terselamat daripada karam dan rumahnya akan terselamat dari kecurian dan serangan musuh.


(25) SURAH AN-NUUR (Cahaya)
Barang siapa membacanya, nescaya ia akan terhindar dari mimpi-mimpi yang buruk. Barang siapa membaca ayat 35 dari surah ini, pada hari Jumaat sebelum sembahyang Asar, nescaya dia akan disegani oleh orang ramai.


(26) SURAH AL-FURQAN (Pembaca)
Barang siapa membacanya sebanyak 3 kali ke atas air yang bersih, lalu air itu dipercikkan di dalam rumah, nescaya rumah itu akan terselamat dari gangguan binatang-binatang yang liar dan ular-ular yang bisa.


(27) SURAH ASY-SYU A'RA (Ahli-ahli Syair)
Barang siapa membaca ayat 130 dari surah ini, sebanyak 7 kali dengan senafas ke atas orang-orang yang digigit oleh binatang-binatang yang berbisa nescaya akan hilang bisa-bisa itu.


(28) SURAH AN-NAML (Semut)
Barang siapa membacanya nescaya nikmat-nikmat Allah akan kekal kepadanya.


(29) SURAH AL-QA-SHASH (Cerita)
Barang siapa membacanya ke atas pekerja-pekerjanya, nescaya Mereka tidak akan mencuri dan mengkhianat. Barang siapa membaca ayat-ayat 51 hingga 55 dari surah ini, Nescaya otaknya akan cergas, akalnya akan sempurna dan budi pekertinya akan halus.


(30) SURAH AL-ANKABUT (Labah-labah)
Barang siapa membacanya, nescaya demamnya akan sembuh. Barang siapa membacanya, nescaya ia akan terhindar dari gelisah dan keluh kesah.


(31) SURAH AR-RUM (Rum)
Barang siapa membacanya, nescaya Allah akan membinasakan orang yang hendak menzaliminya.


(32) SURAH LUQMAN (Luqman)
Barang siapa membacanya, nescaya ia akan terhindar dari segala-gala penyakit terutama dari penyakit-penyakit perut. Barang siapa membaca ayat 31 dari surah ini, nescaya akan terselamat dari bencana banjir.


(33) SURAH AS-SAJ DAH (Sujud)
Barang siapa membaca ayat-ayat 7 hingga 9 dari surah ini, ke atas kanak-kanak yang baru lahir, nescaya ia akan terhindar dari segala- gala penyakit ruhani dan jasmani.


(34) SURAH AL-AHZAB (Golongan-golongan)
Barang siapa membaca ayat-ayat 45 hingga 48 dari surah ini, nescaya ia akan mendapat kemuliaan dan kehormatan sejati. Dan barang siapa membaca ayat-ayat 60 hingga 66 dari surah ini, nescaya Allah akan membinasakan musuh-musuhnya.


(35) SURAH SABA' (Saba')
Dengan membacanya, terselamatlah ia dari segala-gala bala bencana, terutamanya dari rosaknya tanam-tanaman.


(36) SURAH FAATHIR (Pencipta)
Barang siapa membaca ayat-ayat 29 dan 30, nescaya Allah akan memberkati perniagaannya.


(37) SURAH YAASIIN (Hai Manusia)
Nabi kita Muhammad s.a.w bersabda : "Tiap-tiap sesuatu Mempunyai hati dan hati Al-Quran ialah surah Yaasiin." Yaasiin kerana Allah, nescaya akan terampun segala-gala dosanya kecuali dosa syirik.." 
Dalam satu hadith yang lain Baginda s.a.w bersabda: "Hendaklah kamu membaca surah Yaasiin ke atas pesakit-pesakitmu yang menghadapi sakaratul-maut, nescaya Allah s.w.t akan meringankan kekerasan sakaratul-maut itu."
Dalam satu hadith yang lain pula Baginda s.a.w bersabda: "Aku ingin benar, agar surah Yaasiin ini dihafaz oleh tiap-tiap umatku." 
Barang siapa membacanya sebanyak 41 kali, pasti akan tercapai segala hajat dan cita-citanya.
Barang siapa membacanya sebanyak 21 kali pada malam Jumaat, lalu berdoa istghfar untuk kedua ibu bapanya, nescaya dosa kedua ibu bapanya akan diampunkan oleh Tuhan. 
Barang siapa membaca sekali ketika membuka kedai atau perniagaan, nescaya akan maju perniagaannya itu.
Barang siapa membacanya sekali pada awal malam, andaikata ia mati pada malam itu, mesti ia mati syahid.
Barang siapa membacanya sekali selepas tiap-tiap sembahyang Jumaat, nescaya ia akan diselamatkan dari siksa kubur. 
Jika dibacanya oleh seorang askar, ketika ia hendak turun kemedan peperangan, Allah akan mengurniakan kepadanya keberanian dan kegagahan, serta naiklah ketakutan pada musuh-musuhnya. 
Hikmat-hikmat dan khasiat-khasiat surah Yaasiin ini banyak benar didapati di dalam kitab-kitab hadith tetapi cukuplah setakat ini untuk diamal oleh anda sekalian.


(38) SURAH ASH-SHAAFFAAT (Yang Berbaris)
Barang siapa membacanya, insya Allah in akan terpelihara daripada gangguan jin.


(39) SURAH SHAAD (Shaad)
Dengan membaca ayat 42 dari surah ini, nescaya akan mendapat kebahagian sejati. Insyallah rakan- rakan semua akan mendapat berkat


Dipetik: Suara Persatuan Ulama Online

Thursday, June 2, 2011

tarbiah dahulu atau berjuang itu tarbiah?


Artikel ini diambil dari ismaweb dan dikarang oleh Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni Naib Presiden II, ISMA.... harap dapat dibaca perlahan2 agar sampai ke hati dan mudah untuk difahami...
Bacaan dari sirah perjuangan Rasulullah s.a.w. amat penting bagi pendakwah. Sirah menerangkan kepada kita kaedah dakwah. Dengan itu kami tidak menganggap membaca dan mengkaji sirah Rasulullah s.a.w. berkali-kali sebagai satu beban tambahan bagi pendakwah. Sebaliknya ia seumpama cahaya yang menyuluh perjalanan. Semakin tinggi kefahamannya terhadap sirah, semakin mudah untuk dia berjalan di dunia dakwah.
Di sini ingin kami kongsikan kepada pembaca satu fakta berkenaan sirah Rasulullah s.a.w. yang telah ditafsirkan secara silap oleh sebahagian pendakwah. Kesilapan penafsiran ini mungkin disebabkan oleh pembacaan yang tidak meluas terhadap sirah. Jika ini puncanya, ia suatu yang mudah untuk dibetulkan kembali. Apa yang kami bimbangi adalah jika ia lahir dari sikap, pandangan dan pendekatan yang sudah terpahat dan didoktrinkan di dalam pemikiran sebelum kajian terhadap sirah. Peristiwa-peristiwa dari sirah dipilih untuk menguatkan pandangan ini. Jika ini puncanya, perkongsian terhadap topik ini mungkin agak sukar.
Fasa-fasa Dakwah
Dakwah Rasulullah s.a.w. dimulakan dengan fasa kerahsiaan identiti, tanzim dan aktiviti dakwah selama tiga tahun. Sesudah itu ia masuk ke fasa berdakwah secara terang-terangan sesudah turunnya ayat: “dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.” (As-Syu’ara: 214). Ada kisah pertemuan-pertemuan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. di rumah Arqam bin Abi Arqam, seorang pemuda yang pemilihan rumahnya memberikan beberapa kelebihan dari sudut keselamatan. Rasulullah s.a.w. juga berkata kepada mereka: “Tahan tangan-tangan kamu sebaliknya dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat.”
Fasa ini berterusan untuk satu tempoh. Persoalan timbul tentang tabiat fasa ini; adakah ia bermaksud para sahabat r.a. perlu ditarbiah untuk satu tempoh tertentu sebelum terlibat di dalam medan dakwah? Jika itu betul, adakah ianya kaedah yang diguna pakai juga kepada sahabat-sahabat r.a. yang memeluk Islam sesudah fasa ini; tarbiah untuk satu tempoh sebelum diberikan tugasan dakwah dan jihad? Jika itu adalah petunjuk dari sirah, adakah organisasi dakwah hari ini juga perlu mengambil kaedah yang sama?
Kajian terhadap jarak waktu di antara keislaman para sahabat r.a. dan penugasan dakwah dan jihad kepada mereka oleh Rasulullah s.a.w. tidak sekali-kali menyokong pandangan di atas. Sebaliknya apa yang kita dapati adalah sebaliknya.
Sahabat dan Tarbiah Rasulullah s.a.w.
Bilangan sahabat r.a. melebihi 100,000 orang. Ini jika sekiranya kita mengambil pandangan al-Hafiz Ibnu Hajar yang mentakrifkan sahabat r.a.: “Sesiapa yang hidup bersama Rasulullah s.a.w. untuk satu tempoh yang panjang atau pendek, yang meriwayatkan hadis daripada Baginda s.a.w. atau tidak meriwayatkan hadis, sesiapa yang ikut serta berperang bersama Baginda s.a.w. dan sesiapa yang tidak ikut serta, sesiapa yang pernah melihat Baginda s.a.w. walau pun tidak pernah duduk semajlis dengannya dan sesiapa yang tidak pernah melihat Baginda s.a.w. kerana sesuatu halangan seperti buta.” Dengan takrif itu termasuk di dalam kelompok yang disebut sebagai ‘bintang-bintang di langit’ ini semua yang pernah menghadiri haji wida’ (perpisahan). As-Syeikh Muhammad al-Khudari mengatakan bahawa bilangan mereka yang hadir di peristiwa haji wida’(perpisahan) tersebut adalah seramai 90,000 orang. Jika kita campurkan bilangan baki sahabat r.a., ahli keluarga mereka di Madinah yang tidak ikut serta di dalam haji wida’ dan sedikit yang memeluk Islam selepas itu, bilangan itu sememangnya mencecah lebih 100,000 orang.
Pentarbiahan Rasulullah s.a.w. terhadap mereka berlaku dalam bentuk yang pelbagai. Tidak sama di antara seorang dengan seorang yang lain. Tetapi hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tentang para sahabat r.a. dan persaksian sejarah membuktikan penglibatan mereka – kesemua mereka – di dalam dakwah dan jihad. Dengan erti kata lain pentarbiahan yang pelbagai bentuk tersebut berjaya melahirkan lebih 100,000 orang pendakwah yang telah pun lulus ‘piawai’ tarbiah tersebut.
Jika kita mengkatogerikan para sahabat r.a. berdasarkan bentuk pentarbiahan yang mereka terima dari Rasulullah s.a.w. secara mudahnya kita boleh mengkatogerikan mereka kepada beberapa kategori.
Kelompok Pertama
Kelompok yang bersama dengan Rasulullah s.a.w. dari fasa Mekah sehingga ke hujung fasa Madinah. Mereka mendapat pentarbiahan yang langsung dari Rasulullah s.a.w. dalam setiap keadaan. Dorongan untuk mereka terlibat di dalam dakwah dan jihad dengan satu kesungguhan luar biasa dan dengan kaedah yang betul mudah untuk kita fahami. Rasulullah s.a.w. bersama mereka di setiap detik kehidupan mereka; menegur mereka, memberikan arahan, menasihat, mendidik dan membentuk.
Berapakah bilangan mereka?
Jika dibandingkan dengan bilangan sahabat r.a. keseluruhannya, nisbah bilangan mereka adalah terlalu kecil. Jika sekiranya kita tolak 183 orang lelaki dan 18 orang wanita di kalangan sahabat r.a. yang berhijrah ke Habsyah, bilangan mereka di kelompok ini tidak melebihi 200 orang. 200 dari 100,000 orang? Hanya 0.2% sahaja.
Apa bentuk pentarbiahan mereka? Apa bahan yang mereka bincangkan? Apakah suntikan tarbiah yang disuntik kepada mereka sebelum memulakan dakwah?
Dr. Jasim Muhammad Sultan berpendapat: “Rasulullah s.a.w. tidak meletakkan kadar suntikan tarbiah kepada seseorang muslim sebelum mereka terlibat di dalam projek-projek Islam kecuali dua kalimah syahadah. Tarbiah akan diteruskan selepas itu beriringan dengan peristiwa-peristiwa yang berlaku.”
Kami melihat kebenaran pada kata-katanya. Beberapa peristiwa yang berlaku kepada kelompok ini menyokong pandangan beliau.
Saidina Abu Bakar r.a. menyeru kepada Islam dari hari pertama dia mengucapkan dua kalimah syahadah. Di tangan beliau lima dari sepuluh yang dijamin masuk syurga oleh Baginda s.a.w. memeluk Islam. Mereka adalah Osman bin Affan r.a., Abdul Rahman bin Auf r.a., Saad bin Abi Waqqas r.a., az-Zubair bin al-Awwam r.a. dan Tolhah bin Ubaidillah r.a.
Di samping itu beliau juga menebus hamba yang memeluk Islam. Beliau juga mempertahankan Rasulullah s.a.w. dari sebarang gangguan.
Apa yang beliau lakukan hanyalah hasil dari kefahaman terhadap beberapa ayat al-Quran. Bukan perincian yang mendalam tentang Islam, tetapi hanya beberapa ayat.
Fakta yang cukup menarik juga kita dapati apabila kita mengkaji peristiwa keislaman Omar al-Khattab r.a. dan Hamzah bin Abd. Mutalib r.a. Mereka beriman di penghujung tahun kelima kenabian. Tetapi mereka mendahului sebahagian dari sahabat r.a. yang pernah ditarbiah di rumah Arqam bin Abi Arqam r.a. Saidina Omar r.a. sendiri termasuk di dalam kelompok 10 yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah s.a.w.; satu-satunya dari 10 orang itu yang masuk Islam selepas fasa rahsia pada tiga tahun pertama.
Berkenaan Saidina Omar r.a. ini Abdullah bin Mas’ud r.a. berkata: “Keislaman Omar r.a. adalah pembukaan. Hijrahnya adalah kemenangan. Pemerintahannya adalah rahmat. Kami tidak pernah bersembahyang di hadapan Ka’bah sehinggalah Omar r.a. memeluk Islam. Apabila dia memeluk Islam, dia melawan Quraisy dan bersembahyang di hadapan ka’bah. Lalu kami pun bersembahyang bersama-sama dengannya.”
Persoalan yang sama kita ajukan; apa bentuk pentarbiahan yang berlaku kepada Omar r.a.? Apa bahan yang dibincangkan? Apakah suntikan tarbiah yang disuntik kepada Omar r.a. sebelum memulakan dakwah?
Jawapannya akan kita dapati pada kata-kata Dr. Jasim Muhammad Sultan di atas.
Kelompok Kedua
Kelompok yang memeluk Islam kemudian diarahkan agar meninggalkan Rasulullah s.a.w. Mereka terbahagi kepada dua kategori; ahli rombongan hijrah ke Habsyah dan sahabat yang diminta kembali ke kabilah masing-masing.
Para sahabat r.a. yang berhijrah ke Habsyah berjumlah seramai 183 orang lelaki dan 18 orang wanita. Jumlah ini menyamai jumlah sahabat r.a. yang duduk kekal di Mekah. Rasulullah s.a.w. berkata kepada mereka dua tahun sesudah bermulanya fasa dakwah terang-terangan: “Apa kata jika kamu pergi ke bumi Habsyah. Di situ ada seorang raja, siapa berada di sisinya tidak akan dizalimi. Ia adalah bumi kebenaran. Duduklah di situ sehingga Allah mengeluarkan kamu dari kesengsaraan kamu sekarang.”
Mereka berada di sana bermula dari tahun kelima kenabian dan bergabung dengan Rasulullah s.a.w. selepas peperangan Khaibar pada tahun ketujuh hijrah. 15 tahun di Habsyah, jauh dari Rasulullah s.a.w. dan baki sahabat r.a. Tinggal di bumi Kristian yang mempunyai nilai sejarahnya sendiri. Berjiran dan dikelilingi oleh penganut agama Kristian yang ta’asub dengan ajaran itu dan mempertahankannya. Sedangkan mereka baru memeluk Islam. Bagaimanakah Rasulullah s.a.w. cukup berani mempertaruhkan nasib mereka? Siapa yang mentarbiah mereka di sana? Cukupkah bekalan yang mereka dapati di Mekah untuk hidup di bumi yang asing ini? Terjagakah iman mereka sebelum kita bertanya mampukah mereka berdakwah di sana?
Pentarbiahan berlaku dalam bentuknya yang tersendiri. Peristiwa-peristiwa yang berlaku di bumi Habsyah mematangkan mereka. Mereka menyempurnakan kefahaman dakwah mereka di situ selama 15 tahun; jauh dari sumber wahyu. Kemungkinan ayat-ayat yang turun kepada Rasulullah s.a.w. sampai kepada mereka dari hari ke hari walau pun mungkin terlalu lambat jika dibandingkan dengan para sahabat r.a. yang berada di Mekah. Itu adalah bentuk tarbiah terbaik yang kami jangkakan walau pun ia mungkin sekadar satu andaian. Apa yang pastinya, Rasulullah s.a.w. tidak ada di sisi mereka untuk menegur dan membimbing mereka setiap hari.
Satu lagi fakta menarik kami temui di dalam kelompok ini. Fakta ini membuktikan pengiktirafan Rasulullah s.a.w. terhadap pencapaian kefahaman dakwah dan jihad pada tahap tinggi yang mereka dapati di Habsyah. Ketua rombongan hijrah ke bumi Habsyah iaitu Ja’far bin Abu Talib r.a. dilantik oleh Rasulullah s.a.w. mengetuai ekspedisi perang Muktah hanya beberapa bulan sesudah tiba di Madinah dari Habsyah. Turut serta di dalam peperangan itu adalah Abdullah bin Mas’ud dan al-Miqdad bin al-Aswad r.a. Kedua-duanya adalah ahli rombongan hijrah ke Habsyah. Satu yang kami rasakan cukup menakjubkan dan cukup penting untuk dikaji oleh peminat-peminat ilmu tarbiah da’awiah harakiah.
Perkara yang lebih kurang sama berlaku kepada sahabat yang beriman dan diminta kembali ke kabilah masing-masing. Di antara mereka adalah Abu Zar al-Ghifari. Dia memeluk Islam di Mekah dan bertemu kembali dengan Rasulullah s.a.w. di Madinah bersama dengan dua kabilah yang telah memeluk Islam; kabilah Aslam dan Ghaffar.
Rasulullah s.a.w. pernah menyifatkan Abu Zar r.a.: “Seorang pemuda yang tepat ungkapannya kata-katanya.”Dengan kelebihan itu beliau r.a. menyeru kedua-dua kabilah tersebut kepada Islam.
Persoalan yang sama kita ajukan; apa bentuk pentarbiahan yang berlaku kepada Abu Zar r.a.? Apa bahan yang dibincangkan? Apakah suntikan tarbiah yang disuntik kepada Abu Zar r.a. sebelum memulakan dakwah dan berjaya mengislamkan dua kabilah yang besar?
Kelompok Ketiga
Suku Aus dan Khazraj yang dikenali sebagai kaum Ansor selepas penubuhan negara Islam Madinah. Sebahagian mereka beriman sebelum peristiwa hijrah tetapi kebanyakannya beriman ketika Rasulullah s.a.w. berada di Madinah. Mereka tidak pernah menerima pentarbiahan di Mekah seperti golongan Muhajirin. Mereka beriman di fasa jihad dan kemenangan Islam bukan fasa kerahsiaan dan fasa dakwah terang-terangan di Mekah. Mereka tidak berdepan dengan Quraisy dalam keadan Islam lemah. Mereka berdepan dengan kaum Quraisy dalam keadaan Islam kuat. Mereka tidak melalui fasa yang dilalui oleh golongan Muhajirin. Tetapi mereka memberikan sumbangan yang tidak kurang besarnya kepada Islam. Beberapa ayat al-Quran memuji golongan Ansar. Di antaranya firman Allah yang bermaksud:
“dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Al-Hasyr: 9)
Allah sifatkan mereka sebagai ‘orang-orang yang berjaya’. Persaksian yang membuktikan kedudukan mereka yang tinggi di sisi Allah. Mereka berdakwah di awal keislaman mereka lagi.
Satu kisah berkenaan seorang Ansar bernama Nu’aim bin Mas’ud di dalam peperangan Ahzab ingin kami ketengahkan di sini sebagai bahan renungan kita semua. Beliau beriman di tengah-tengah peperangan Ahzab. Selepas keislamannya beliau bertemu Rasulullah s.a.w. dan bertanya kepada Rasulullah s.a.w. apa-apa yang ingin diminta beliau lakukan. Beliau sanggup melakukan apa sahaja.
Perhatikan detik-detik peristiwa yang berlaku kepada pemuda ini. Beliau terlalu baru memeluk Islam, tidak pernah menerima apa juga bentuk pentarbiahan dari Rasulullah s.a.w. dan bahkan mungkin tidak sempat langsung untuk menghafal walau pun satu potong ayat al-Quran. Arahan yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada beliau menjadi panduan kita di dalam kajian tarbiah da’awiah harakiah. Beliau tidak diarahkan duduk di soff belakang dan ditarbiah dahulu oleh sahabat-sahabat besar. Sebaliknya Rasulullah s.a.w. memberikannya satu tugasan yang cukup berisiko dan dia berjaya melakukannya. Beliau berjaya menyelinap ke dalam kedua-dua kumpulan Quraisy dan Yahudi, mencetuskan perbalahan di antara kedua pihak dan membawa kepada kemenangan kepada Islam.
Apa yang mampu dipelajari oleh pemuda ini beberapa detik selepas keislamannya sehingga beliau dapat memainkan peranan yang besar ini?
Kelompok Keempat
Kaum Quraisy yang tidak beriman di fasa Mekah sebaliknya beriman di fasa jihad dan kemenangan Islam di Madinah.
Di antara mereka adalah Khalid bin al-Walid r.a. yang memeluk Islam selepas melihat keajaiban yang berlaku kepada tentera Islam di dalam peristiwa Hudhaibiah. Beliau memeluk Islam dan memimpin tentera Islam beberapa bulan selepas keislamannya. Kegemilangan beliau memimpin tentera Islam tidak perlu kita ketengahkan di sini. Ia adalah kisah yang masyhur dan tidak perlukan banyak penjelasan dibuat berkenannya.
Kelompok Kelima
Kelompok terpencil yang menyembunyikan keislaman mereka di Mekah. Mereka menzahirkan keislaman mereka sebelum pembukaan Mekah. Sebahagian daripada mereka memberikan sumbangan kepada Islam dalam bentuk-bentuk tertentu yang tidak dilakukan oleh sahabat-sahabat lain yang menzahirkan keislaman mereka.
Di antaranya adalah Abbas bin Abdul Mutallib r.a. Beliau menyaksikan peristiwa Bai’ah Aqabah kedua dalam keadaan belum memeluk Islam. Bahkan berlaku perbualan di antara wakil Ansor dengan beliau meminta persetujuan beliau sebelum mereka membuat keputusan untuk membawa Rasulullah s.a.w. ke Yathrib.
Bagaimana sumbangan kepada dakwah boleh berlaku dalam bentuk yang sedemikian? Satu lagi peristiwa yang mengajak kita untuk berfikir tentang topik penglibatan dakwah seseorang dan kaitannya dengan tarbiah.
Kelompok Keenam
Mereka adalah kelompok yang beriman selepas pembukaan Mekah. Mereka beriman sesudah Islam berjaya membuktikan kekuatan dan keunggulannya. Di antara mereka adalah Ikrimah bin Abu Jahl r.a., Suhail bin Amru r.a. dan Sofwan bin Umayyah r.a.
Mereka telah membuktikan di dalam sejarah tentang sumbangan mereka kepada Islam terutamanya di dalam siri-siri peperangan membenteras gejala murtad di seluruh Semenanjung Tanah Arab di zaman Saidina Abu Bakar r.a.
Berapakah jarak masa di antara pertemuan mereka dengan Rasulullah s.a.w. dan penglibatan mereka di dalam jihad tersebut? Ia adalah jarak yang cukup pendek.
Qaedah Sulbah
Qaedah sulbah adalah satu istilah merujuk kepada sekelompok manusia yang menjadi tulang belakang kepada umat Islam. Mereka akan bersama umat dalam kegembiraan dan kedukaan umat. Mereka mengorbankan segala yang mereka miliki untuk umat. Masa depan umat adalah masa depan mereka. Jiwa mereka tulus dan suci. Mereka ikhlas di dalam perkataan dan perbuatan. Mereka tidak memandang dunia sebagai matlamat hidup. Mereka membawa diri mereka menghampiri Allah dengan bertaabud kepadanya melalui segala amal baik mereka dan segala sumbangan mereka kepada umat. Nasib umat terletak di tangan mereka. Pencerobohan musuh tidak akan berjaya selagi mereka ada.
Bagaimanakah proses melahirkan qaedah sulbah ini?
Mereka tidak akan datang dari aktiviti tarbiah di bawah bumbung-bumbung dan di dalam bilik-bilik yang tertutup. Tetapi mereka datang dari medan dakwah yang mereka berada di dalamnya. Medan itulah yang akan melahirkan mereka dan yang akan mengasingkan mereka dari pendakwah-pendakwah yang tidak tulin.
Apa yang kami nukilkan di sini tidak bermaksud bahawa kami memperkecilkan isu tarbiah. Ramai pihak yang mengetahui bahawa kami mengambil berat isu tarbiah lebih dari orang lain.
Apa yang kami ingin ungkapkan di sini adalah kesempurnaan proses tarbiah itu sendiri sebenarnya tidak akan berlaku jika kita menghadkan aktiviti tarbiah tanpa penglibatan di dalam medan dakwah. Kehidupan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. menunjukkan kepada kita bahawa ia bukanlah dua perkara yang berasingan; yang pertama mendahului yang kedua. Tidak juga menunjukkan bahawa sesiapa yang lama ditarbiah akan lebihthabat bila masuk ke medan dakwah. Medan akan menyempurnakan tarbiah dan menguji thabat seterusnya melahirkan qaedah sulbah.
Kami juga tidak bermaksud dengan kefahaman yang sedikit maka pendakwah mesti terus terjun ke medan dakwah yang luas; apa juga bentuk dan saiz medan tersebut.
Membuka medan dakwah kepada pendakwah mesti dilakukan secara beransur-ansur berdasarkan tahap kemampuannya. Ia adalah perkiraan yang sukar dilakukan oleh kita. Tetapi kesukaran tersebut tidak seharusnya membawa kepada satu pendekatan mudah yang dilakukan oleh sebahagian pendakwah iaitu membuka terus medan dakwah kepada segala jenis pendakwah tanpa mengambil kira kemampuan dan kesesuaiannya. Bacaan dari sirah juga tidak menyokong pendekatan ini. Ada peranan yang mampu dimainkan oleh Abu Bakar r.a. tidak mampu dimainkan oleh orang lain. Ada peranan yang mampu dimainkan oleh Dihyah al-Kalbi r.a. tidak mampu dimainkan oleh sahabat-sahabat besar. Begitulah seterusnya kita dapati satu persatu penugasan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dilakukan dengan cukup teliti.
Semoga dengan tulisan ini dapat membawa kita kembali meneliti bentuk pentarbiahan yang kita lakukan. Moga apa juga aktiviti tarbiah itu tidak akan menjadi penghalang kepada sampainya kebaikan yang kita miliki kepada umat Islam dan seterusnya menjadi sebahagian dari penyelesaian kepada masalah umat.

Wednesday, June 1, 2011

wahai wanita2 sekalian....

Assalamualaikum...
Sekarang sudah masuk bulan kedua cuti semester..Harap2 apa yang telah saya lakukan sebelum ini di rumah dapat membentuk kematangan diri di satu taraf yang lebih baik. Sekarang ini saya amat berminat untuk membincangkan keruntuhan akhlak yang kian menjadi-jadi di Malaysia ini. Sepanjang pengamatan saya yang duduk di Malaysia selama 19 tahun ini, saya tidak dapat lari daripada pandangan yang haram apabila keluar ke mana2 sekalipun. Tidak kira lah di mana sekalipun. Pandang depan,kiri,kanan,atas mahupun bawah...ada saja yang tak kena..kemungkaran berlaku di mana2 saja.Yang menyedihkan adalah si pelaku kemungkaran tersebut adalah muslim sendiri. Hairannya,mereka tahu tentang hukum2 agama apabila di tanya tetapi buat muka macam tak bersalah pula. Selalunya saya suka bercakap dengan hati kerana tidak cukup kekuatan untuk melantangkan suara di depan mereka. Jadi blog ini saya jadikan medium meluahkan pendapat saya dengan harapan sesiapa yang terbaca mampu berfikir dengan baik dan bertindak sewajarnya.

Pertama sekali yang terlintas di hati saya mengenai 'kunci' keruntuhan moral remaja di Malaysia sekarang wanitanya. Tidak dinafikan, lelaki adalah pemimpin yang dipertanggungjawabkan untuk memimpin manusia di muka bumi ini. Tetapi wanita merupakan faktor penting yang menjadikan baik buruknya lelaki itu. Mana tidaknya, di Malaysia ini begitu ramai wanita yang menutup auratnya seperti pisang, dalamnya dibalut tetapi tetap nampak bentuk badannya. Lelaki yang tidak berniat untuk melihat pun boleh terpesona dengan wanita2 seksi ini sehingga boleh menimbulkan nafsu liar mereka. Jadi jangan salahkan lelaki saja kalau sudah terkena. 'Menariknya', sekarang ini bukan kes rogol yang banyak terpapar di akhbar2 sekarang tetapi kes2 pembuangan bayi yang berlaku bermaksud wanita2 sekarang kebanyakannya rela mengikut nafsu lelaki berbanding dipaksa..

Cukup2 lah saya membebel kat post atas ni..sekarang suka untuk saya kongsikan apa yang tidak kena pada cara pemakaian wanita hari ini dan cara sebenar berpakaian..cuba perhatikan gambar di bawah..terdapat pelbagai jenis kesalahan dalam pemakaian dan balasannya di akhirat..


Harap2 ianya sedikit sebanyak dapat membantu wanita2 dalam memperbaiki cara berpakaian.. Saya dapat rasakan kadangkala wanita2 ini sebenarnya selesa dengan cara penampilan yang lebih ringkas seperti di atas yang pada mereka nampak 'cantik' tetapi pada pendapat saya, wanita yang menutup auratnya dengan sempurna jauh lebih cantik malah berpuluh-puluh lebih cantik daripada yang di atas.. saya ingin berkongsi satu cerita mengenai seorang wanita yang menutup aurat dan dilindungi Allah..Ceritanya bermula apabila seorang wanita ini berjalan seorang diri di suatu jalan sehingga dia terjumpa sebuah jalan yang gelap dan mencurigakan.. di sebalik jalan gelap tersebut terdapat 2 orang lelaki yang disyaki perogol yang sedang menunggu mangsanya..Wanita ini tiada pilihan lain selain melalui jalan tersebut kerana tiada orang lain  yang boleh membantunya..Sebelum melintasi jalan tersebut, wanita ini berdoa dan bertawakkal kepada Allah agar diselamatkan dari 2 lelaki tersebut.. Dengan izin Allah,wanita ini melintas dengan selamat tanpa gangguan dari lelaki2 tersebut..wanita itu mengucapkan syukur kehadrat Allah kerana memperkenankan doanya.. Sebelum beredar dari jalan itu,beliau terlihat seorang lagi wanita yang turut melalui jalan tersebut dan malangnya wanita tersebut dirogol oleh 2 lelaki tadi...wanita ini berasa takut tetapi hairan bagaimana dia boleh terselamat daripada perogol itu..beliau kemudiannya bertanya kepada 2 lelaki tersebut,mengapa dia boleh terlepas dari pandangan lelaki tersebut..salah satu lelaki itu menjawab, bagaimana mereka handak menyerang wanita itu sedangkan terdapat 2 orang lelaki berbadan besar berjaga di kiri kanannya...jadi, tahulah wanita ini bahawa malaikat dihantar oleh Allah untuk menjagannya...(tak pasti cerita benar atau tak,cuma harap dapat ambil ibrah dari cerita ini)



Diharapkan muslimah2 di luar sana dapat memperbaiki penampilan anda semua..tidak perlu untuk berasa malu atau kekok untuk melakukan perubahan kerana Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya.[Al-Baqarah:195] 
Malah,ia merupakan satu dakwah kepada lelaki2 disekeliling untuk menjadi lebih baik....bak kata ustaz saya, kita boleh 'judge' sesebuah masyarakat itu dengan wanitanya...jika buruk wanitanya,maka buruklah masyarakat itu...jika baik wanitanya,maka baiklah keseluruhan masyarakat itu... dan baik itu adalah wanita solehah...Salam Biah Solehah...


Tuesday, February 8, 2011

Berhati-hati memilih pemimpin

Dalam surah al-Hajj ayat 40-41, Allah berfirman, “Sesungguhnya Allah menolong sesiapa yang menolong Agama-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Gagah, lagi Maha Perkasa. Iaitu mereka yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar. Dan kepada Allah sahajalah kembali segala urusan”.
Dalam ayat ini Allah menceritakan tentang golongan yang mendapat pertolongan daripada Allah. Mereka ialah golongan yang ‘diteguhkan kedudukan mereka di muka bumi’ berdasarkan kalimat ‘makkannaahum fil ardh’ dalam surah al-Hajj ayat 41. Imam al-Hasan dan Abu al-‘Aliyah mentafsirkan golongan ini sebagai ‘golongan daripada umat ini yang diberikan kemenangan oleh Allah’. Imam Ibn Abu Najih mentafsirkannya sebagai ‘pemimpin-pemimpin’. Imam ad-Dahhak mentafsirkannya sebagai ‘mereka yang kurniakan kerajaan dan kekuasaan oleh Allah’. Kesemua pendapat ini dilaporkan dalam al-Jamik li Ahkamil Quran oleh Imam Qartubi.
Pemimpin yang bagaimanakah yang mendapat pertolongan dan diredai Allah? Secara dasarnya Allah tidak memberi cek kosong kepada para pemimpin, sebaliknya yang diberikan kepada mereka adalah amanah dan tanggungjawab. Antara tanggungjawab itu ialah “mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang makruf serta mencegah perbuatan yang mungkar”.
Pemimpin Dan Solat
Seseorang pemimpin Muslim memerlukan bantuan dan pertolongan untuk melaksanakan tugasnya dengan baik, dan penolong yang terbaik baginya ialah Allah. Justeru pemimpin Muslim perlu sentiasa mendekati Allah dengan beribadah kepadanya, dan ibadah yang paling penting ialah solat.
Seorang Muslim yang tidak melaksanakan solat tidak layak menjadi pemimpin. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim nabi bersabda, “Sebaik-baik pemimpinmu ialah mereka yang kamu kasihi dan mereka mengasihimu dan kamu mendoakan mereka dan mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpinmu ialah mereka yang kamu benci dan mereka membencimu dan kamu mengutuk mereka dan mereka mengutukmu.’ Sahabat-sahabat pun berkata, ‘Bolehkah kami menentang mereka?’ Jawab Nabi, ‘Tidak, selama mana mereka tetap menegakkan solat’.”
Hadis ini menunjukkan apabila seseorang pemimpin Muslim memperkecilkan solat, dia perlu turun dari jawatan kepimpinannya.
Pemimpin Dan Zakat
Hubungan yang baik dengan Allah perlu disusuli dengan hubungan yang baik sesama manusia. Dalam erti kata yang lain, seseorang pemimpin Muslim perlu berada di masjid untuk beribadah dan perlu juga berada di rumah rakyat untuk membantu mereka. Kebajikan rakyat tidak boleh diabaikan termasuk dalam aspek material dan kesenangan duniawi. Jika boleh kemiskinan dibasmi sepenuhnya dan semua rakyat hidup dalam keadaan senang lenang.
Antara contoh yang terbaik ialah pemerintahan khalifah Omar bin Abdul Aziz. Beliau terkenal sebagai seorang pemimpin yang bertakwa lagi adil. Pemerintahannya memakan masa 30 bulan. Dalam masa itu kemiskinan berjaya dibanteras dan rakyat ketika itu hidup dalam kemewahan. Berhubung dengan ini Yahya bin Said meriwayatkan, “Khalifah Omar Abdul Aziz mengutus aku untuk mengutip zakat di Afrika. Aku pun melaksanakan tugas ini dan kemudiannya aku pun mencari golongan fakir miskin untuk di berikan zakat namun golongan ini tidak aku temui. Sesungguhnya khalifah Omar Abdul Aziz telah menjadikan kami manusia yang kaya raya”.
Ibadah zakat yang disebutkan dalam surah al-Hajj ayat 41 menekankan tentang aspek ini. Kebajikan rakyat dalam aspek duniawi tidak boleh dipandang ringan.
Pemimpin Dan Amar Makruf Nahi Mungkar
Terdapat sebahagian pemimpin Muslim yang tidak melupakan solat dan zakat, tetapi mereka melupakan tanggungjawab untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkiran. Mereka juga tidak layak memimpin masyarakat. Berhubung dengan ini Imam Qartubi, dalam al-Jamik li Ahkamil Quran, melaporkan perkataan Imam Sahl bin Abdullah yang bermaksud, “Mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran adalah wajib ke atas mereka yang berkuasa serta ulama”.
Tidak ada kemuliaan bagi mereka yang mengabaikan amar makruf dan nahi mungkar. “Makruf” bermaksud “sesuatu yang baik mengikut pandangan syarak dan akal,” dan “mungkar” pula bermaksud “sesuatu yang berlawanan dengan makruf sebagai contoh, meninggalkan perkara yang difardukan serta kewajipan, ataupun melakukan perbuatan yang haram sama ada berbentuk dosa kecil ataupun besar”. Tafsiran ini disebutkan oleh Muhammad ibn Illan Al-Makki dalam Dalilul Falihin (Maktabah Al-Halabi, Mesir; jilid 2)
Aspek ini amat dipentingkan oleh Islam sehinggakan, mengikut riwayat Muslim, Nabi mengizinkan penentangan dilakukan jika pemimpin melakukan ‘kufran bawaahan.’ Sahabat Abdullah bin Samit meriwayatkan, “Kami berbaiah (iaitu membuat perjanjian taat setia) agar tidak menentang kepimpinan melainkan jika berlaku ‘kufran bawaahan’ di mana di sisi Allah bukti-buktinya adalah amat jelas.” Imam Nawawi mentafsirkan ‘kufran bawaahan’ sebagai ‘maksiat yang dilakukan oleh seseorang pemimpin yang jelas bercanggah dengan kehendak agama Allah dan kaedah-kaedah Islam’. Hal ini dilaporkan dalam kitab Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).
Justeru seseorang yang tidak menyeru kepada makruf dan pada ketika yang sama membiarkan serta menggalakkan perbuatan mungkar (dan yang lebih teruk lagi ialah dia sendiri terlibat melakukan kemungkaran itu), maka dia tidak layak menjadi pemimpin umat. Qadhi Iyad memfatwakan, “Apabila berlaku ke atas seseorang pemimpin tanda-tanda kekufuran, perbuatan mengubah syariat ataupun amalan bidaah, wajiblah dilucutkan kepimpinannya dan gugurlah ketaatan rakyat kepadanya. Ketika itu beliau hendaklah digantikan dengan seorang yang adil”. Fatwa ini dilaporkan dalam Sahih Muslim bi Syarhi An-Nawawi (Al-Matbaah Al-Fikriah; juz. 12, 1924).
Usaha untuk mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran tidak akan dapat dilaksanakan dengan sempurna tanpa ilmu. Justeru seseorang pemimpin Muslim wajib menguasai ilmu apatah lagi ilmu agama. Rata-ratanya kita sudah mengetahui bahawa ilmu yang diperlukan bukanlah semata-mata ilmu tentang tajwid, rukun solat, mandi wajib, wuduk, tayamum dan yang seumpamanya. Ia lebih dari itu.
Di samping itu beliau juga merupakan peribadi yang bersedia untuk terus belajar dan mendengar serta menghormati pandangan golongan ilmuwan terutamanya dalam bidang agama.
Berhati-hati Memilih Pemimpin
Ketika dalam perjalanan kita disuruh berhati-hati di jalan raya. Hadis-hadis pula menyuruh umatnya berhati-hati ketika memilih pasangan hidup serta kawan. Maka dalam konteks memilih pemimpin ia sudah pasti lebih dituntut lagi kerana isunya adalah lebih besar dan kesannya lebih meluas.
Dalam surah Al-Baqarah ayat 124, Allah berfirman,  “Berkata Allah (kepada Ibrahim), ‘Sesungguhnya Allah akan menjadikan kamu Imam (pemimpin) untuk manusia’. Berkata Ibrahim, ‘Dan juga dari keturunanku.’ (Berfirman Allah), ‘Janji-Ku tidak akan diberikan kepada mereka yang zalim’.”
Ayat ini menunjukkan pemimpin tidak boleh dilantik secara sembarangan. Sehubungan dengan ini Imam Qartubi dalam Al-Jamik li Ahkamil Quran berkata, “Ayat ini (iaitu al-Baqarah ayat 124) merupakan dalil bagi satu jemaah ulama Islam bahawa pemimpin-pemimpin mestilah dari golongan yang adil, ihsan dan mulia…..Adapun yang fasiq dan zalim mereka tidak layak menjadi pemimpin”.
Nukilan Dr. Danial bin Zainal Abidin Untuk mindasuper.com
Hasil Nukilan :

Dr. Danial Zainal Abidin
dzcsyifa@streamyx.com
http://danialzainalabidin.com