Friday, June 24, 2011

Jangan Bunuh Hudhud Itu



ٍSumber foto: static.howstuffworks.com
Artikel ini diambil dari laman web www.saifulislam.com atas kebenaran adminnya dan bukan untuk tujuan komersil.Ibrahnya sanagat besar terutamanya untuk sesebuah organisasi.Selamat membaca!!
“Mengapa aku tidak melihat burung Hudhud? Apakah dia termasuk di kalangan mereka yang ponteng?” Sulaiman ‘alayhi al-salaam bertanya.
Pemeriksaan hari itu, begitu teliti dilakukannya.
Kerajaannya besar. Bukan setakat kerajaan manusia di Timur dan Barat, malah menakluki segala haiwan hingga ke komuniti Jin.
Namun Sulaiman tidak hilang pemerhatian. Tidak hilang kawalan. Baginda tahu siapa yang ada dan siapa yang tiada.
Ketidak hadiran Hudhud menimbulkan murka Sulaiman.
“Sesungguhnya aku pasti akan menghukum Hudhud itu dengan hukuman yang keras, malah aku tidak teragak-agak untuk menyembelihnya sahaja!” begitu sekali kemarahan Baginda.
Ia menggambarkan prihatian dan tegasnya Sulaiman dalam menjaga kabinet, tenaga kerja dan seluruh jentera kerajaannya. Pemimpin yang tidak meremehkan sesiapa, biar pun kakitangannya itu hanya si burung Hudhud.
“Kecuali jika Hudhud mendatangkan penjelasan yang konkrit!” Sulaiman memberi penegasan.
Tegasnya bukan sampai buta dari pertimbangan. Biar pun murka, ruang penjelasan sentiasa ada.
Kisah ini merupakan petikan firman Allah di dalam al-Quran, Surah al-Naml berkenaan Nabi Sulaiman ‘alayhi al-Salaam sebagai pemimpin kerajaannya.
“Dan (setelah itu) Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung (yang turut serta dalam tenteranya) lalu berkata: “Mengapa aku tidak melihat burung Hudhud? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir? Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata (yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir. Burung Hudhud itu tidak lama ghaibnya selepas itu, lalu datang sambil berkata (kepada Nabi Sulaiman): “Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari Negeri Saba’ dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya” [Surah al-Naml 27: 20-23]
PERANAN HUDHUD
Kisah di dalam al-Quran bukan bedtime story. Ia datang dengan ‘ibrah yang besar.
Hudhud di dalam kisah ini tidak seharusnya mencerminkan fenomena tasayyub yang boleh berlaku di dalam gerakan Islam. Gejala ‘hilang kawalan’ dan pandai-pandai sendiri dalam melakukan gerak kerja hingga tidak bergerak selari dengan dasar dan matlamat gerakan Islam, tidak harus bersandarkan kepada kisah ini.
Hudhud tidak lari daripada tujuan dan disiplin gerak kerja sebuah gerakan. Tetapi apa yang hendak ditonjolkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam ayat ini adalah sifat penting yang mesti wujud di dalam diri amilin gerakan Islam yang diwakili oleh Hudhud tersebut. Sifat yang dimaksudkan itu adalah kepekaan amilin terhadap peluang-peluang yang wujud di sekitarnya, yang mungkin tidak disedari oleh sebuah gerakan yang sudah mempunyai SOP rutinnya.
Sulaiman alayhi al-Salaam yang kekuatan serta kemampuan Baginda menguasai komuniti manusia, haiwan dan jin, tetap diperlihatkan oleh Allah betapa masih ada perkara yang berlaku di luar pengetahuannya. Dengan kemudahan dan kemahiran, maklumat masih sesuatu yang terlalu luas untuk dikuasai.
Inilah intipati penjelasan yang dikemukakan oleh Hudhud.
“Ada benda yang pengetahuan tuan tidak sampai kepadanya” kata Hudhud.
Hudhud tahu apa yang dilakukannya. Sebelum menjelaskan apa yang mahu dijelaskan, Hudhud terlebih dahulu menyediakan Sulaiman untuk menghargai apa yang bakal diterangkan.
“Aku baru pulang dari Negeri Saba’ dengan sebuah Naba’” tegas Hudhud.
Kisah yang dibawa bukan sebarang cerita. Bukan kisah kosong. Ia adalah sebuah Naba’, yakni berita penting yang perlu diketahui oleh Sulaiman.
TELADAN BUAT DA’I DAN MURABBI
Seorang da’i mesti mempunyai inisiatif positif pada mencari kebaikan. Ke mana atau di mana sahaja beliau berada, biar pun atas nama kerja dan urusan peribadi, matanya tidak harus alpa daripada membaca peluang-peluang dakwah di sekitarnya. Ruang-ruang seperti ini sering berada di luar cakupan jentera dakwah, justeru perlu dimanfaatkan mata peninjau yang berada di mana-mana.
Ia perlu berlaku tanpa menunggu arahan khusus.
Hal ini harus timbul daripada kesedaran dakwah yang tidak terikat dengan masa dan kelapangan da’i. Pengurusannya mungkin separuh masa, tetapi komitmennya sepenuh masa.
Gerakan Islam juga perlu akur bahawa bukan semua perkara mampu direncanakannya hatta ada sahaja perkara penting yang tercicir daripada keupayaan dirinya. Sulaiman alayhi al-Salaam yang merupakan seorang Rasul penerima wahyu, dan dikuatkan lagi dengan kemahirannya yang dikurniakan Allah, masih berhajatkan kepada sumbangan jentera kecilnya bernama Hudhud yang bersikap proaktif meninjau sesuatu yang berada di luar lingkungan ketuanya.
MENGHARGAI SUMBANGAN HUDHUD
Saeed Hawwa rahimahullah di dalam siri wacana Jundullah beliau, menegaskan tentang wujudnya dua bentuk penggabungan seseorang di dalam sebuah gerakan Islam.
Penggabungan yang pertama disebut sebagai al-Intimaa’ al-Tandheemi (الإنتماء التنظيمي). Ia merupakan penggabungan formal mereka yang tidak lagi bertindak sebagai penyokong, tetapi mengambil kemuliaan menjadi pendukung. Kelompok ini mesti berkualiti kerana integriti serta kompetensi mereka memberikan kesan langsung kepada perjalanan dan perkembangan gerakan yang didukungnya.
Penggabungan yang kedua, disebut sebagai al-Intimaa’ al-’Aatifee (الإنتماء العاطفي). Penggabungan yang lebih berbentuk kebersamaan sokongan dan emosi ini, memerlukan kepada keluasan jiwa kepimpinan gerakan Islam untuk melihatnya sebagai sebuah penggabungan. Berbicara secara realistik, penggabungan kedua ini sering lebih besar saiznya berbanding dengan kelompok yang bergabung dengan penggabungan pertama. Atas apa sahaja sebab yang tidak menjadi persoalan di sini, di luar sana ada ramai penyokong atau kelompok yang simpati kepada gerakan Islam. Mereka berada di mana-mana. Berjawatan rendah berjawatan tinggi, malah berada di balik tembok-tembok yang sukar sekali untuk ditembusi oleh sebuah gerakan.
Namun mereka mungkin seperti Hudhud.
Si kecil yang membawa berita besar.
Gerakan Islam mesti menjiwai pembawaan Sulaiman yang amat tegas dalam menekankan disiplin kerja, tetapi cukup rendah jiwa dan diri untuk membuka ruang penjelasan dan pengambilan manfaat hasil tinjaun proaktif si burung Hudhud.
Hari ini, Hudhud itu mungkin orang dalam, mungkin orang luar.
Mereka itu bermaklumat. Resourceful. Mereka membekalkan pelbagai maklumat. Membekalkan statistik. Membekalkan hasil tinjauan. Semuanya untuk mengkayakan Gerakan Islam dengan Naba’di era Perang Maklumat ini.
Hudhud bukan HANYA HUDHUD. Tanpa Hudhud, Kerajaan Sulaiman tidak mencecah Saba’ dan penyatuan Makkah dan Palestin tidak berlaku.
Jangan semata-mata dek sarang Hudhud alamatnya tidak bercawangan seperti cawanganmu atau tidak berkawasan seperti kawasanmu, kamu bunuh Hudhud itu!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com

Saturday, June 18, 2011

Teknik menghafal Al-Quran

Sebelum Menghafal

1. Mempunyai azam dan minat untuk menghafal
2. Memilih waktu yang sesuai untuk menghafal.
3. Memilih tempat yang sesuai untuk menghafal.
4. Berada dalam keadaan tenang.
5. Kosongkan fikiran sebelum menghafal.
6. Pilih sebuah jenis mashaf dan jangan ubah dengan jenis mashaf lain.
7. Beristighfar, membaca selawat dan doa sebelum mula menghafal.
8. Membaca ayat 164 surah Al-Baqarah sebelum mula menghafal.



Teknik Menghafal

A. Teknik “Chunking”

1. Memisah-misahkan sepotong ayat yang panjang kepada beberapa bahagian yang sesuai mengikut arahan guru.
2. Memisah-misahkan selembar mukasurat kepada beberapa bahagian (2 atau 3 bahagian) yang sesuai.
3. Memisah-misahkan surah kepada beberapa bahagian, contohnya mengikut pertukaran cerita.
4. Memisah-misahkan juz kepada beberapa bahagian mengikut surah, hizib, rubu’, cerita dan sebagainya.
5. Memisah-misahkan Al-Qur’an kepada kelompok surah, setiap 10 juz dan sebagainya.


B. Teknik Mengulang

1. Membaca sepotong atau sebahagian ayat sekurang-kurangnya lima kali sebelum mula menghafalnya.
2. Membaca ayat yang telah dihafal berulang-ulang kali (10 atau lebih) sebelum berpindah ke ayat seterusnya.
3. Selepas menghafal setiap setengah mukasurat, harus diulang beberapa kali sebelum diteruskan bahagian yang kedua.
4. Selepas menghafal satu mukasurat diulang beberapa kali sebelum diteruskan ke muka surat seterusnya.
5. Sebelum menghafal bahagian Al-Qur’an seterusnya, harus diulang bahagian yang sebelumnya.


C. Teknik Tumpu dan Ingat

1. Menumpukan penglihatan kepada ayat, mukasurat dan lebaran.
2. Pejamkan mata dan cuba melihatnya dengan minda.
3. Sekiranya masih lagi kabur, buka mata dan tumpukan kembali kepada mashaf.
4. Ulanglah sehingga dapat melihat ayat atau mukasurat tersebut dengan mata tertutup.


D. Teknik Menghafal Dengan Seorang Teman

1. Pilih seorang teman yang sama minat.
2. Orang yang pertama membaca dengan disemak oleh orang yang kedua.
3. Orang yang kedua membaca dengan disemak oleh orang yang pertama.
4. Saling menebuk ayat antara satu sama lain.


E. Teknik Mendengar Kaset

1. Pilih seorang qari’ yang baik bagi seluruh Al-Qur’an atau beberapa qari’ bagi surah-surah tertentu.
2. Sebelum mula menghafal, dengar bacaan ayat-ayat yang ingin dihafal beberapa kali.
3. Amati cara, lagu dan tempat berhenti bacaan qari’ tersebut sehingga terpahat di fikiran.
4. Mula menghafal ayat-ayat tersebut dengan cara dan gaya qari’ tersebut.
5. Sentiasa mendengar kaset bacaan Al-Qur’an dan kurangkan atau tinggalkan pendengaran lagu kerana ia akan mengganggu penghafalan.


F. Teknik Merakamkan Suara

1. Rakamkan bacaan kita di dalam kaset dan dengar semula untuk memastikan bacaan dan hafalan yang betul.
2. Bagi kanak-kanak, rakamkan bacaan ibu-bapa atau guru kemudian diikuti oleh bacaan kanak-kanak tersebut. Minta kanak-kanak tersebut mendengar kembali rakaman tersebut beberapa kali hingga menghafalnya.


G. Teknik Menulis

1. Tulis kembali mukasurat yang telah dihafal.
2. Kemudian semak semula dengan mashaf.
3. Menulis setiap ayat pertama awal mukasurat, atau setiap rubu’, atau setiap juz, atau setiap surah dalam satu helai kertas.


H. Teknik “Pointers” dan “Keyword”

1. Buat beberapa kotak.
2. Setiap kotak merupakan satu mukasurat.
3. Catit dalam kotak tersebut beberapa perkataan yang menjadi keyword bagi mukasurat tersebut.
4. Merenung dan membayangkan kotak tersebut dalam ingatan.


I. Teknik Menghafal Sebelum Tidur

1. Membaca atau menghafal beberapa potong ayat sebelum tidur.
2. Semasa melelapkan mata, dengar kaset bacaan ayat-ayat tersebut dan bayangkan posisi-nya di minda kita.
3. Dengar kembali dari awal surah, juz atau hizib, atau mana-mana yang sesuai sehingga ayat yang telah dihafal. Cuba bayangkan ayat-ayat yang didengar dari kaset di minda kita.


J. Teknik “Mindmaping”

1. Bagi setiap Juz, buat 8 cabang, setiap cabang satu rubu’. Tulis ayat pertama rubu’ tersebut dicabangnya.
2. Bagi setiap surah, buat cabang bagi setiap pertukaran cerita atau rubu’.
3. Bagi setiap 10 juz, buat cabang bagi setiap juz, dan cabang yang lebih kecil bagi rubu’.


Mengekalkan Hafalan

1. Jauhi maksiat mata, maksiat telinga dan maksiat hati.
2. Banyak berdoa, terutama waktu mustajab doa seperti ketika berbuka puasa, ketika belayar, selepas azan dan lain-lain lagi.
3. Kerjakan solat hajat kepada Allah.
4. Kerjakan solat Taqwiyatul hifz.
5. Menetapkan kadar bacaan setiap hari, contohnya, selembar, setengah juz, 1 juz dan sebagainya.
6. Membaca pada waktu pagi dan mengulangnya pada waktu malam.
7. Jangan membaca ketika sedang bosan, marah atau ngantuk.
8. Menulis setiap ayat yang mutashabih.


Dipetik daripada website Pusat Tahfiz Al-Quran Singapura
Semoga Allah melimpahkan rahmat kepada penulisnya.

Wednesday, June 15, 2011

Gerhana Bulan

Solat Gerhana disebut di dalam bahasa arab dengan khusuf (الخُسُوفِ  ) bagi bulan dan kusuf (الكُسُوفِ  ) bagi matahari, iaitu hilangnya cahaya bulan atau matahari.

Ia bukanlah berlaku kerana kemurkaan Allah swt, tetapi merupakan petanda kepada kebesaran kekuasaan Allah swt. Ia juga berupaya menjadi peringatan kepada manusia tentang azab dan nikmat yang dijanjikan Allah swt pada hambanya kerana fenomena gerhana ini sangat besar ertinya samada dari penghayatan iman dan sains. Ia bukan fenomena baru yang hanya berlaku pada akhir zaman ini tapi telah berlaku sejak alam ini dijadikan dan juga pada zaman Nabi saw yang dikenali sebagai sebaik-baik kurun.


Dalilnya :

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dari Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الشَّمْسَ  وَالقَمَر َ آيَتَانِ مِنْ ايَاتِ اللهِ  لاَيَخْسِفَان ِ لِمَوت ِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ، فَإِذَا رَأَيْتُمْ

 ذلِكَ فَادْعُوا اللهَ وَكَبِّرُوا وَتَصَدَّقُوا وَصَلُّوا


Maksud: “Sesungguhnya matahari dan bulan adalah dua macam tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah. Terjadinya gerhana matahari atau bulan itu bukanlah kerana kematian seseorang atau kehidupannya. Maka jikalau kamu melihatnya, berdoalah kepada Allah, bertakbirlah, bersedekahlah serta bersembahyanglah”

Dalilnya :

عن ابن مسعود الانصارقال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : (إن الشمس والقمر آيتان من آيات الله. يخوف بهما عباده. وَاِنَّهُمَا  لا  ينكسفان لموتِ أحد مِنَ النَّاسِ. فإذا رأيتم منها شيئا. فصلوا وادعوا الله يكشف ما بكم.

Maksud: Dari Abu Mas’ud Al Ansari beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya matahari dan rembulan (bulan) adalah dua di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya (kalau sedang gerhana) oleh Allah digunakan untuk menakuti para hambaNya. Dan keduanya tidaklah gerhana lantaran kematian seseorang di antara manusia. Kerana itu, apabila kalian melihatnya, maka lakukanlah solat dan berdoalah kepada Allah sampai hal yang menakutkan itu hilang”


Solat Khusuf/Kusuf adalah sunat Muakkad sama ada bagi orang yang bermukim atau bermusafir, merdeka atau hamba, lelaki atau perempuan dan sama ada ditunaikan secara berjamaah atau bersendirian

i. Bagi solat Gerhana Matahari waktunya bermula apabila ternyata berlaku gerhana dan berakhir dengan hilangnya gerhana itu, dan sehingga jatuh matahari dan gerhana tersebut. Sekiranya gerhana berlaku ketika atau selepas terbenam matahari, maka tidak ada solat gerhana.

ii. Bagi Solat Gerhana Bulan waktunya bermula apabila ternyata berlakunya gerhana bulan dan berakhir dengan hilang gerhana dan naik matahari. Tidak dikira dengan naik fajar atau jatuhnya pada malam dengan gerhananya. Sekiranya berlaku gerhana bulan ketika terbenamnya, dan sebelum terbit fajar maka dibolehkan solat. Tetapi jika terbenamnya bulan sesudah terbit fajar, maka terdapat dua pendapat iaitu :

i.                    Qaul Qadim : Tidak ada solat gerhana kerana kekuasaan bulan telah hilang bila terbit fajar (subuh ).
ii.       Qaul Jadid : Ada solat gerhana kerana kekuasaan bulan masih ada sehinggalah terbit matahari ( syuruk ).
*        Di dalam mazhab Syafie dibolehkan bersolat walaupun ketika berlaku gerhana tersebut adalah waktu tahrim.

Boleh dilakukan di mana-mana samada di rumah, musolla, surau atau masjid. Walau bagaimanapun yang afdhal ialah masjid yang didirikan Jumaat.

i. Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Matahari :

أُصَلِّى سُنَّةَ الكُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى
Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Taala.”

  
ii.      Lafaz Niat Solat Sunat Gerhana Bulan

أُصَلِّى سُنَّةَ الخُسُوفِ رَكْعَتَينِ للهِ تَعَالَى

Ertinya : “ Sahaja aku solat sunat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Taala.”


i.  Solat gerhana dilakukan sekurang-kurangnya 2 rakaat seperti solat sunat biasa. Ia adalah yang sekurang-kurangnya. Yang akmalnya dilakukan dengan dua kali ruku’ dan 2 kali qiyam, pada tiap-tiap satu rakaat dengan tidak dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.

ii. Yang terlebih akmal ialah dengan 2 rakaat, dengan 2 ruku dan qiyam bagi  tiap-tiap satu rakaat dengan dipanjangkan bacaan pada kedua-dua rakaat.

Kaifiatnya adalah seperti berikut:

Berdasarkan hadis :

عن عائشة نحو حديث ابن عباس وقالت: أَنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم خَسَفَتِ الشَّمْسُ قَامَ فَكَبَّرَ وَقَرَأَ  قِرَاءَةً  طَوِيلَةً  ثُمَّ  رَكَعَ رُكُوعًا طَوِيلاً ثُمَّ رَفُعَ  رَأْسُهُُ فَقَالَ  سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَقَاَم كَمَا هُوَ نَقَرَ  قِرَاءَةً  طَوِيلَةً وَهِىَ أَدْنى مِنَ القِرَاءَةِ الأُولَى ثُمَّ  رَكَعَ  رُكُوعًا طَوِيلاً وَهِىَ أَدْنَى مِنَ الرَّكْعَةِ الأُولَى  ثُمَّ سَجَدَ سُجُودًا طَوِيلاً  ثُمَّ فَعَلَ ِفي  الرَّكْعَةِ  الآخَِرةِ مِثْلَ ذلِكَ  ثُمَّ سَلَّمَ  وَقَدْ تَجَلَّتِ الشَّمْسُ فَخَطَبَ  النَّاسِ فَقَالَ ِ في  كُسُوفِ الشَّمْسِ وَالقَمَرِ  إِنَّهُمَا  آيَتَانِ  مِنْ  آياَتِ اللهِ  َلا يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وََلا لحَِيَاتِهَ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ.

 
MaksudDari Aisyah r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah SAW berdiri (di masjid) pada hari terjadi gerhana matahari, lalu baginda mengadakan solat gerhana dan membaca bacaan yang panjang (seukur seratus ayat surah al-Baqarah), kemudian beliau mengangkat kepala dan mengucapkan Sami’ Allahhu Liman Hamidah, dan beliau berdiri lalu membaca bacaan yang panjang, sedang bacaan
(dalam berdiri yang kedua) ini sedikit berkurang daripada bacaan yang pertama, kemudian beliau ruku’ dengan ruku’ yang panjang, sedang ruku’  ini berkurang dari ruku’ pertama, kemudian beliau sujud dengan sujud yang panjang (bertasbih seukur bacaan seratus ayat), kemudian beliau bertindak sepadan demikian (rakaat pertama) itu pada rakaat yang akhir (kedua), Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana)
maka bersyukurlah kepada solat gerhana”
  

                                                                                     
(Riwayat Bukhari 4-hlm: 358)


عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ عَمْرو بنِ العَاصِ أَنَّهُ قَالَ: لَمَّا انْكَسَفَتِ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ نُودِىَ بِ ( الصَّلاَةُ جَامِعَةً ) فَرَكـَعَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ قَامَ فَرَكـَعَ رَكْعَتَينِ فِى سَجْدَةٍ. ثُمَّ جُلِّىَ عَنِ الشَّمْسِ. فَقَالَتْ عَائشَةُ: مَا رَكَعْتُ رُكُوعًا قَطَُّ. وَلاَ سَجَدتُ سُجُودًا قَطَُّ. كَانَ اَطْوَلَ مِنْهُ.

Maksud: Dari Abdullah bin Amr bin Al-Ash, beliau berkata: “Tatkala matahari gerhana pada masa Rasulullah SAW, maka diserukan : ‘as solatu jami`ah’. Lalu Rasulullah SAW melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat. Kemudian berdiri lagi dan melakukan dua kali ruku’ dalam satu rakaat. Kemudian matahari kembali muncul. Aisyah berkata: “Aku sama sekali tidak pernah melakukan ruku’ ataupun sujud yang lebih lama daripada itu”

(Sahih Muslim 2-hlm: 81)
Secara ringkasnya seperti berikut :

1.       Takbiratul Ihram.
2.       Membaca doa iftitah.
3.       Membaca Ta`awudz. ( تعاوز )
4.       Membaca surah al-Fatihah.



5.       Membaca mana-mana surah, yang terlebih afdhal surah al-Baqarah.
6.       Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 100 ayat.
7.       Iktidal serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah ali-Imran atau  mana-mana surah.
8.       Ruku dangan membaca tasbih kira-kira membaca 90 ayat.
9.       Iktidal.
10.     Sujud dan membaca tasbih.
11.     Duduk antara 2 sujud.
12.     Sujud kembali.
13.     Berdiri ke rakaat kedua.

b.   Rakaat kedua.

1.       Membaca surah al-Fatihah.
2.       Membaca surah al-Nisa’ atau mana-mana surah.
3.       Ruku’ dan membaca tasbih kira-kira membaca 70 ayat semasa ruku’.
4.       Iktidal serta membaca surah al-Fatihah dan membaca surah al-Maidah       
          atau mana-mana surah.
5.       Ruku dangan membaca tasbih kira-kira membaca 50 ayat.
6.       Iktidal.
7.       Sujud dan membaca tasbih.
8.       Duduk antara 2 sujud.
9.       Sujud kembali.
10.     Membaca tasyahud akhir.
11.     Memberi salam.

*        Tidak perlu iqamah tapi cukup sekadar ucapan : ( الصِّلاَةُ جَامِعَةً )
*        Sunat menyaringkan suara pada bacaan Fatihah dan surah ketika solat sunat gerhana bulan dan perlahan ketika solat sunat gerhana matahari.
*        Disunatkan mandi untuk solat gerhana, seperti hendak solat Jumaat.

Khutbah Solat Gerhana :

Dalil dari Aisyah r.a. berkata :

ثم سلم وقد تجلت الشمس فخطب الناس فقال في كسوف الشمس والقمر إنهما آيتان
من آيات الله لا يخسفان لموت أحد ولا لحياته فإذا رأيتموهما فافزعوا إلى الصلاة.


Ertinya : Selanjutnya beliau mengakhiri solatnya dengan salam, sedang gerhana matahari telah berakhir. Lalu baginda berkhutbah kepada manusia: “Pada gerhana matahari dan bulan, sesungguhnya keduanya adalah dua tanda (kebesaran) di antara tanda-tanda kebesaran Allah. Keduanya tidaklah terjadi gerhana kerana kematian seseorang pula tidaklah kerana kehidupan seseorang. Maka apabila kalian melihat keduanya (gerhana) maka bertandanglah kepada solat gerhana”

(Riwayat Bukhari 4-hlm: 358)

i.        Sunat membaca khutbah selepas solat sunat, walaupun gerhana sudah hilang.
ii.       Khutbahnya seperti khutbah hari raya tetapi tidak sunat bertakbir.
iii.      Isi khutbah hendaklah menyuruh para jemaah bertaubat, bersedekah, memerdekakan hamba, berpuasa, mengingati manusia supaya tidak lalai,  jangan leka dengan dunia dan sebagainya.
iv.      Jika solat itu hanya terdiri dari wanita semata-mata, maka tidak perlu khutbah. ( Khutbah adalah seperti dilampirkan )

Secara umumnya bila pertembungan ini berlaku maka kaedahnya didahulukan yang paling ringan. Sekiranya sama nilainya, maka didahulukan yang paling kuat.

Contoh :
i.        Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat jenazah maka didahulukan solat jenazah.
ii.       Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan solat fardhu di awal waktu maka didahulukan solat gerhana kerana dibimbangi matahari atau bulan kembali cerah. Tetapi jika berlaku pertembungan itu diakhir waktu solat fardhu maka didahulukan solat fardhu.
iii.      Jika pertembungan berlaku di antara solat gerhana dengan witir didahulukan solat gerhana.

Friday, June 10, 2011

Punca Penyakit Manusia

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,

Sebagaimana akhlak terpuji mempunyai induk dan akarnya tersendiri, begitu pula akhlak tercela memiliki akarnya yang berada di dalam  jiwa dan fikiran kita.

Ada dua akar penyakit akhlak :

PERTAMA : SYUBHAT

Penyakit ini menimpa wilayah akal manusia, di mana kebenaran tidak menjadi jelas (samar) dan bercampur dengan kebatilan. Penyakit ini menghilangkan kemampuan dasar manusia memahami secara baik dan memilih secara tepat.

Penyakit syubhat sesungguhnya berkaitan dengan pemahaman dasar manusia dan struktur pemikirannya. Akarnya adalah ilmu yg belum sempurna dan mendalam bertemu dengan kecenderungan jiwa untuk menyimpang. 

Allah swt berfirman :


"...Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong pada kesesatan, maka mereka mengikuti ayat-ayat mutasyabihaat....." (QS Ali Imran : 7)
Oleh kerana itu, akar penyakit ini dapat ditelusuri pada :

1. Kemampuan manusia dalam memahami.
2. Adanya kelemahan logik atau penyalahgunaan logik.
3. Ketidakmampuan memahami hakikat sesuatu secara benar.
4. Kesalahan metodologi dalam berfikir.

Kesemua perkara di atas akan menyebabkan lahirnya kesimpulan yang juga salah dan akhir sekali penyimpangan pemahaman keagamaan yang menyebabkan lahirnya bid'ah dan aliran sesat.

Orang-orang yang menderita penyakit ini biasanya :

a. Memiliki keberanian luar biasa untuk membahas apa sahaja yang datang dari Allah swt.
b. Mempunyai kegemaran luar biasa untuk berdebat.
c. Sifat rakus dalam mempertahankan pendapat sendiri sekalipun sesungguhnya ia tidak pernah memiliki keyakinan yang kuat dan selalu ragu dalam segala perkara.

Lawan dari penyakit ini adalah ilmu yang benar dan mendalam yang kemudian menimbulkan keyakinan yang kuat yang tidak disertai keraguan.

Pada akhirnya, penyakit syubhat ini melahirkan kekufuran, bid'ah dan nifaq.

KEDUA : SYAHWAT
Penyakit ini menimpa wilayah hati dan naluri manusia, di mana dorongan kekuatan dalam hatinya mengalahkan dorongan kekuatan kebaikan. Penyakit ini menghilangkan kemampuan dasar manusia untuk mengendalikan diri dan bertekad secara kuat.

Adapun penyakit ini pada umumnya lahir dari lemahnya kehendak baik dalam hati seseorang, baik untuk melakukan kebaikan (positif) mahupun untuk melawan dorongan kejahatan dalam dirinya.

Sebagai contoh firman Allah swt :

"Dan sesungguhnya telah kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu) dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat." (QS Thaha : 115)
Dorongan-dorongan kejahatan itu sendiri pada dasarnya berasal dari naluri manusia yang sebahagiannya adalah keperluan dasar yang memberikan kepentingan dan dinamik kehidupan kepada manusia.

Naluri seksual, misalnya, pada kadar tertentu diperlukan untuk mempertahankan kelangsungan hidup umat manusia, namun, ia menjadi kejahatan saat tuntutan pemuasannya berlebihan dan cara pemenuhannya keluar dari jalur syariah.

Demikian pula naluri berkuasa, misalnya ia diperlukan untuk mencipta kemampuan memimpin dan bermasyarakat dalam kehidupan manusia. Namun, jika kadarnya melampaui batas yang tabi'e dan cara pemenuhannya keluar dari jalur syariah, maka ia menjadi ancaman bagi kebaikan.

Ada beberapa jenis syahwat yang kemudiannya menjadi akar kepada semua bentuk dosa manusia :

1. SYAHWAT KEKUASAAN

Ia bererti dorongan berkuasa dalam diri seseorang begitu kuat sampai ke tingkat di mana ia mulai menyerap sebahagian dari sifat yg hanya layak dimiliki oleh Allah swt. Hal ini bermula dari yang terkecil seperti :

a. Suka dikagumi (sum'ah).
b. Senang disanjungi di depannya (riya').
c. Merasa puas diri (ghurur).

sehingga sampai kepada yang lebih besar seperti :

a. Sombong.
b. Angkuh.
c. Mengancam.
d. Zalim.

Syahwat inilah yang kemudiannya mendorong manusia sampai pada tingkat yang lebih jauh lagi iaitu syirik. Inilah dosa yang membuat Fir'aun terlaknat.
Syahwat ini biasanya menimpa orang yang memiliki banyak perkara seperti :

a. Harta yang melimpah ruah.
b. Kekuasaan yang luas.
c. Dukungan ketenteraan yang kuat.
d. Rakyat yang miskin, bodoh dan lemah dan tidak berdaya.
e. Teknologi yang tinggi dan canggih.

2.SYAHWAT KESYAITANAN

Ia bererti bahwa ada dorongan yg kuat dalam diri seseorang untuk menyerupai syaitan dalam berbagai bentuk perilaku dasarnya seperti :

a. Memiliki sifat benci, dengki, dendam.
b. Gemar menipu.
c. Membuat rancangan yang jahat.
d. Menyebarkan gosip.
e. Memfitnah.
f. Menyesatkan orang lain.

Syahwat ini biasanya mempertemukan antara kecerdasan di satu sisi dengan dorongan syaitan di sisi yang lain. Oleh kerana itu, pelakunya cenderung licik dan culas dalam pergaulan serta bermuka dua.

Syahwat ini biasanya menimpa orang-orang yang cerdas namun tidak memiliki hati yang bersih dan niat yang baik.

3.SHAHWAT BINATANG BUAS

Syahwat ini berasal dari nafsu amarah dan angkara murka seperti api yang cenderung membakar dan memusnahkan. Jika syahwat angkara murka bertemu dengan kekuatan fizikal yang mendokongnya, maka lahirlah berbagai macam perilaku buruk seperti :

a. Permusuhan.
b. Perdebatan.
c. Penjajahan.
d. Pembunuhan.
e. Kezaliman.
f. Perkelahian.

Syahwat ini biasanya menimpa orang-orang yang kuat secara fizikalnya namun tidak memiliki rasa kasih, kemurahan hati dan naluri sosial yg baik.

4.SHAHWAT BINATANG TERNAK
Syahwat ini berasal dari naluri binatang dalam diri manusia dan mendorongnya untuk memenuhi keperluan perut dan kemaluannya secara berlebihan. Penyakit ini mendorong manusia menjadi :

a. Hedonis.

b. Permisif
c. Berfikiran pendek.

Dari syahwat perut lahirlah sifat-sifat :

a. Serakah.
b. Rakus.
c. Makan harta anak yatim.
d. Mencuri.
e. Rasuah.
f. Sifat pengecut dan penakut.

Adapun dari syahwat kemaluan lahirlah perzinaan.

Sebahagian besar manusia terjebak dalam penyakit ini disebabkan pemenuhannya yang tidak memerlukan banyak kecerdasan ataupun kekuatan fizikal atau wilayah kekuasaan.

Demikianlah kita melihat bahwa kedua penyakit ini iaitu penyakit syubhat dan syahwat berpunca dari sumber yg sama iaitu kelemahan akal dan jiwa di mana kita boleh rumuskan seperti berikut :

1.Kelemahan akal disebabkan oleh kedangkalan ilmu dan kelemahan jiwa>>>Penyakit Syubhat
2.Kelemahan jiwa disebabkan oleh kelemahan kemahuan dan tekad>>>Penyakit Syahwat
Islam telah membahagikan akhlak menjadi dua jenis :

PERTAMA : AKHLAK FITRIYAH

Iaitu sifat bawaan yg melekat dalam fitrah seseorang yang dengannya ia diciptakan, baik sifat fizikal mahupun sifat jiwa.

Firman Allah swt :


"…(tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah…." (QS Ar Rum : 30)
Berbagai-bagai sifat bawaan yang bercampur boleh membentuk karakter fitriyah yang lain misalnya seseorang membawa kecerdasan dari ibunya dan membawa sifat serakah dari bapanya maka hasilnya muncul sifat ketiga iaitu sifat licik.

Begitu pula jika ia membawa sifat cinta kepada kebenaran lalu bertemu dgn keberanian maka ia menjadi adil seperti yg boleh dirumuskan seperti berikut:

Serakah + Cerdas = Licik
Cinta Kebenaran + Berani = Adil
KEDUA : AKHLAK PEROLEHAN
Sifat semulajadi yang tidak ada dalam sifat bawaan seseorang namun diperolehi melalui lingkungan alam dan sosial, pendidikan, latihan dan pengalaman. Islam menganggap wilayah akhlak ini sebenarnya lebih luas dari akhlak fitriyah.

Rasulullah saw bersabda mengenai perkara ini :


"Ilmu diperolehi dengan belajar dan sifat santun diperolehi dgn latihan menjadi santun." (HR Bukhari)
Terdapat beberapa faktor luaran yang mempengaruhi pembentukan karakter di atas seperti berikut :

PERTAMA : Lingkungan alam, misalnya iklim tropika mempengaruhi tabiat masyarakatnya untuk bersikap hangat dan terbuka.

KEDUA : Lingkungan sosial iaitu lingkungan keluarga dan masyarakat.

KETIGA : Pendidikan, latihan dan pengalaman iaitu usaha-usaha secara sedar samada langsung mahupun tidak langsung untuk mengembangkan karakter tersebut.

Oleh sebab itu akhlak dalam Islam sentiasa terbuka bagi semua bentuk perbaikan, pengembangan dan penyempurnaan kerana sumber-sumber karakter perolehan itu wujud dan bersifat tetap.

Orang yang membawa sifat kasar boleh memperolehi sifat lembut setelah melalui mekanisma latihan yang sistematik. Contoh nyata adalah Saidina Umar Al Khattab yang sifat asalnya adalah kasar kemudian beliau belajar menjadi lembut setelah masuk Islam.

Begitu juga Saidina Abu Bakar yang memang seorang yang lembut sebelum Islam sehingga dianggap lemah oleh sesetengah kalangan tetapi menjadi tegas, keras dan kuat setelah masuk Islam.

Demikianlah Islam memberi peluang kepada setiap orang untuk belajar membentuk karakternya sendiri sehingga lahirlah dari agama ini manusia-manusia ajaib yang menghiasi sejarah peradaban manusia.

Semoga Allah swt melindungi kita dari terjebak ke dalam dua penyakit berbahaya iaitu penyakit syubhat dan syahwat serta memberi kekuatan kepada kita untuk membaiki, meningkatkan dan mengembangkan karakter-karakter yang ada di dalam diri kita sehingga ia benar-benar menghasilkan satu peribadi yang unggul dan memancarkan kesempurnaan akhlak yang diimpikan oleh setiap manusia-manusia yang beriman untuk mendapat darjat yang tinggi di akhirat nanti.

Ya Allah tambahkanlah ilmu yg bermanfaat dan kemahuan yang kuat kepada kami supaya dengannya kami dapat menghalang dari kelemahan akal dan jiwa yang akhirnya boleh menyebabkan kami dijangkiti penyakit syubhat dan syahwat.

Ameen Ya Rabbal Alameen

Wan Ahmad Sanadi Wan Ali
Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam

"UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN"
"IKRAM WADAH PERJUANGAN"