Sebagaimana akhlak terpuji mempunyai induk dan akarnya tersendiri, begitu pula akhlak tercela memiliki akarnya yang berada di dalam jiwa dan fikiran kita.
Ada dua akar penyakit akhlak :
PERTAMA : SYUBHAT
Penyakit ini menimpa wilayah akal manusia, di mana kebenaran tidak menjadi jelas (samar) dan bercampur dengan kebatilan. Penyakit ini menghilangkan kemampuan dasar manusia memahami secara baik dan memilih secara tepat.
Penyakit syubhat sesungguhnya berkaitan dengan pemahaman dasar manusia dan struktur pemikirannya. Akarnya adalah ilmu yg belum sempurna dan mendalam bertemu dengan kecenderungan jiwa untuk menyimpang.
Allah swt berfirman :
"...Adapun orang-orang yang dalam hatinya condong pada kesesatan, maka mereka mengikuti ayat-ayat mutasyabihaat....." (QS Ali Imran : 7)
Oleh kerana itu, akar penyakit ini dapat ditelusuri pada :
1. Kemampuan manusia dalam memahami.
2. Adanya kelemahan logik atau penyalahgunaan logik.
3. Ketidakmampuan memahami hakikat sesuatu secara benar.
4. Kesalahan metodologi dalam berfikir.
Kesemua perkara di atas akan menyebabkan lahirnya kesimpulan yang juga salah dan akhir sekali penyimpangan pemahaman keagamaan yang menyebabkan lahirnya bid'ah dan aliran sesat.
Orang-orang yang menderita penyakit ini biasanya :
a. Memiliki keberanian luar biasa untuk membahas apa sahaja yang datang dari Allah swt.
b. Mempunyai kegemaran luar biasa untuk berdebat.
c. Sifat rakus dalam mempertahankan pendapat sendiri sekalipun sesungguhnya ia tidak pernah memiliki keyakinan yang kuat dan selalu ragu dalam segala perkara.
Lawan dari penyakit ini adalah ilmu yang benar dan mendalam yang kemudian menimbulkan keyakinan yang kuat yang tidak disertai keraguan.
Pada akhirnya, penyakit syubhat ini melahirkan kekufuran, bid'ah dan nifaq.
KEDUA : SYAHWAT
Penyakit ini menimpa wilayah hati dan naluri manusia, di mana dorongan kekuatan dalam hatinya mengalahkan dorongan kekuatan kebaikan. Penyakit ini menghilangkan kemampuan dasar manusia untuk mengendalikan diri dan bertekad secara kuat.
Adapun penyakit ini pada umumnya lahir dari lemahnya kehendak baik dalam hati seseorang, baik untuk melakukan kebaikan (positif) mahupun untuk melawan dorongan kejahatan dalam dirinya.
Sebagai contoh firman Allah swt :
"Dan sesungguhnya telah kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu) dan tidak Kami dapati padanya kemahuan yang kuat." (QS Thaha : 115)
Dorongan-dorongan kejahatan itu sendiri pada dasarnya berasal dari naluri manusia yang sebahagiannya adalah keperluan dasar yang memberikan kepentingan dan dinamik kehidupan kepada manusia.
Naluri seksual, misalnya, pada kadar tertentu diperlukan untuk mempertahankan kelangsungan hidup umat manusia, namun, ia menjadi kejahatan saat tuntutan pemuasannya berlebihan dan cara pemenuhannya keluar dari jalur syariah.
Demikian pula naluri berkuasa, misalnya ia diperlukan untuk mencipta kemampuan memimpin dan bermasyarakat dalam kehidupan manusia. Namun, jika kadarnya melampaui batas yang tabi'e dan cara pemenuhannya keluar dari jalur syariah, maka ia menjadi ancaman bagi kebaikan.
Ada beberapa jenis syahwat yang kemudiannya menjadi akar kepada semua bentuk dosa manusia :
1. SYAHWAT KEKUASAAN
Ia bererti dorongan berkuasa dalam diri seseorang begitu kuat sampai ke tingkat di mana ia mulai menyerap sebahagian dari sifat yg hanya layak dimiliki oleh Allah swt. Hal ini bermula dari yang terkecil seperti :
a. Suka dikagumi (sum'ah).
b. Senang disanjungi di depannya (riya').
c. Merasa puas diri (ghurur).
sehingga sampai kepada yang lebih besar seperti :
a. Sombong.
b. Angkuh.
c. Mengancam.
d. Zalim.
Syahwat inilah yang kemudiannya mendorong manusia sampai pada tingkat yang lebih jauh lagi iaitu syirik. Inilah dosa yang membuat Fir'aun terlaknat.
Syahwat ini biasanya menimpa orang yang memiliki banyak perkara seperti :
a. Harta yang melimpah ruah.
b. Kekuasaan yang luas.
c. Dukungan ketenteraan yang kuat.
d. Rakyat yang miskin, bodoh dan lemah dan tidak berdaya.
e. Teknologi yang tinggi dan canggih.
2.SYAHWAT KESYAITANAN
Ia bererti bahwa ada dorongan yg kuat dalam diri seseorang untuk menyerupai syaitan dalam berbagai bentuk perilaku dasarnya seperti :
a. Memiliki sifat benci, dengki, dendam.
b. Gemar menipu.
c. Membuat rancangan yang jahat.
d. Menyebarkan gosip.
e. Memfitnah.
f. Menyesatkan orang lain.
Syahwat ini biasanya mempertemukan antara kecerdasan di satu sisi dengan dorongan syaitan di sisi yang lain. Oleh kerana itu, pelakunya cenderung licik dan culas dalam pergaulan serta bermuka dua.
Syahwat ini biasanya menimpa orang-orang yang cerdas namun tidak memiliki hati yang bersih dan niat yang baik.
3.SHAHWAT BINATANG BUAS
Syahwat ini berasal dari nafsu amarah dan angkara murka seperti api yang cenderung membakar dan memusnahkan. Jika syahwat angkara murka bertemu dengan kekuatan fizikal yang mendokongnya, maka lahirlah berbagai macam perilaku buruk seperti :
a. Permusuhan.
b. Perdebatan.
c. Penjajahan.
d. Pembunuhan.
e. Kezaliman.
f. Perkelahian.
Syahwat ini biasanya menimpa orang-orang yang kuat secara fizikalnya namun tidak memiliki rasa kasih, kemurahan hati dan naluri sosial yg baik.
4.SHAHWAT BINATANG TERNAK
Syahwat ini berasal dari naluri binatang dalam diri manusia dan mendorongnya untuk memenuhi keperluan perut dan kemaluannya secara berlebihan. Penyakit ini mendorong manusia menjadi :
a. Hedonis.
b. Permisif
c. Berfikiran pendek.
Dari syahwat perut lahirlah sifat-sifat :
a. Serakah.
b. Rakus.
c. Makan harta anak yatim.
d. Mencuri.
e. Rasuah.
f. Sifat pengecut dan penakut.
Adapun dari syahwat kemaluan lahirlah perzinaan.
Sebahagian besar manusia terjebak dalam penyakit ini disebabkan pemenuhannya yang tidak memerlukan banyak kecerdasan ataupun kekuatan fizikal atau wilayah kekuasaan.
Demikianlah kita melihat bahwa kedua penyakit ini iaitu penyakit syubhat dan syahwat berpunca dari sumber yg sama iaitu kelemahan akal dan jiwa di mana kita boleh rumuskan seperti berikut :
1.Kelemahan akal disebabkan oleh kedangkalan ilmu dan kelemahan jiwa>>>Penyakit Syubhat
2.Kelemahan jiwa disebabkan oleh kelemahan kemahuan dan tekad>>>Penyakit Syahwat
Islam telah membahagikan akhlak menjadi dua jenis :
PERTAMA : AKHLAK FITRIYAH
Iaitu sifat bawaan yg melekat dalam fitrah seseorang yang dengannya ia diciptakan, baik sifat fizikal mahupun sifat jiwa.
Firman Allah swt :
"…(tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah…." (QS Ar Rum : 30)
Berbagai-bagai sifat bawaan yang bercampur boleh membentuk karakter fitriyah yang lain misalnya seseorang membawa kecerdasan dari ibunya dan membawa sifat serakah dari bapanya maka hasilnya muncul sifat ketiga iaitu sifat licik.
Begitu pula jika ia membawa sifat cinta kepada kebenaran lalu bertemu dgn keberanian maka ia menjadi adil seperti yg boleh dirumuskan seperti berikut:
Serakah + Cerdas = Licik
Cinta Kebenaran + Berani = Adil
KEDUA : AKHLAK PEROLEHAN
Sifat semulajadi yang tidak ada dalam sifat bawaan seseorang namun diperolehi melalui lingkungan alam dan sosial, pendidikan, latihan dan pengalaman. Islam menganggap wilayah akhlak ini sebenarnya lebih luas dari akhlak fitriyah.
Rasulullah saw bersabda mengenai perkara ini :
"Ilmu diperolehi dengan belajar dan sifat santun diperolehi dgn latihan menjadi santun." (HR Bukhari)
Terdapat beberapa faktor luaran yang mempengaruhi pembentukan karakter di atas seperti berikut :
PERTAMA : Lingkungan alam, misalnya iklim tropika mempengaruhi tabiat masyarakatnya untuk bersikap hangat dan terbuka.
KEDUA : Lingkungan sosial iaitu lingkungan keluarga dan masyarakat.
KETIGA : Pendidikan, latihan dan pengalaman iaitu usaha-usaha secara sedar samada langsung mahupun tidak langsung untuk mengembangkan karakter tersebut.
Oleh sebab itu akhlak dalam Islam sentiasa terbuka bagi semua bentuk perbaikan, pengembangan dan penyempurnaan kerana sumber-sumber karakter perolehan itu wujud dan bersifat tetap.
Orang yang membawa sifat kasar boleh memperolehi sifat lembut setelah melalui mekanisma latihan yang sistematik. Contoh nyata adalah Saidina Umar Al Khattab yang sifat asalnya adalah kasar kemudian beliau belajar menjadi lembut setelah masuk Islam.
Begitu juga Saidina Abu Bakar yang memang seorang yang lembut sebelum Islam sehingga dianggap lemah oleh sesetengah kalangan tetapi menjadi tegas, keras dan kuat setelah masuk Islam.
Demikianlah Islam memberi peluang kepada setiap orang untuk belajar membentuk karakternya sendiri sehingga lahirlah dari agama ini manusia-manusia ajaib yang menghiasi sejarah peradaban manusia.
Semoga Allah swt melindungi kita dari terjebak ke dalam dua penyakit berbahaya iaitu penyakit syubhat dan syahwat serta memberi kekuatan kepada kita untuk membaiki, meningkatkan dan mengembangkan karakter-karakter yang ada di dalam diri kita sehingga ia benar-benar menghasilkan satu peribadi yang unggul dan memancarkan kesempurnaan akhlak yang diimpikan oleh setiap manusia-manusia yang beriman untuk mendapat darjat yang tinggi di akhirat nanti.
Ya Allah tambahkanlah ilmu yg bermanfaat dan kemahuan yang kuat kepada kami supaya dengannya kami dapat menghalang dari kelemahan akal dan jiwa yang akhirnya boleh menyebabkan kami dijangkiti penyakit syubhat dan syahwat.
Ameen Ya Rabbal Alameen
Wan Ahmad Sanadi Wan Ali
Pengerusi JK Tarbiah IKRAM Shah Alam
"UKHUWAH TERAS KEGEMILANGAN"
"IKRAM WADAH PERJUANGAN"
No comments:
Post a Comment